Selalu kalau musim raya haji mesti banyak lebihan daging korban dalam freezer tu kan. Apa kata jom masak gulai kari daging guna rempah sendiri macam orang dulu-dulu buat. Orang lama memang ada caranya yang tersendiri kalau masak masakan kampung ni.
Tapi resepi orang lama inilah yang kita suka makan lagi-lagi kalau buat lauk kenduri kampung. Biasanya kalau masakan gulai kari daging dulu-dulu dagingnya dipotong kecil-kecil. Paling sedap kalau digandingkan dengan ubi kentang yang dipotong besar.
Cuma style dulu-dulu selalu dimasak style kawah atau kayu api yang rasanya berbeza sikit dari sekarang ni. Lagi lama kuah direneh lagi bertambah sedap.
Sebenarnya nama je guna rempah buatan sendiri, tapi bahan-bahannya simple je yang biasa ada kat dapur. Walaupun simple, rempah inilah yang buatkan kuah lagi padu dan wangi beraroma.
Bau daging tu sendiri sedap dimasak kari. Kalau gaul dengan nasi atau buat cicah roti kosong, roti canai dan sebagainya lagi bertambah nikmat. Jom lihat perkongsian resepi dari Habib Bib ni.
RESEPI KARI GULAI KARI DAGING GUNA REMPAH HOMEMADE
Mudah je resepi kari daging zaman dulu-dulu ni. Bahan-bahannya ringkas je. Yang penting bahan tumisan dan rempah ditumis sampai betul-betul naik bau, kemudian tumiskan pula dengan daging sehingga pecah minyak untuk rasa yang lebih padu.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan rempah:
- 2 ½ sudu teh biji ketumbar
- 1 ½ sudu teh jintan putih
- 2 sudu teh jintan manis
- 10 tangkai cili kering
Bahan tumbuk:
- 2 ulas bawang putih
- 3 biji bawang merah
- Halia sebesar ibu jari
Bahan tumis:
- 2 biji bawang merah (hiris)
- 1 ulas bawang putih (hiris)
- Bunga lawang
- Kulit kayu manis
Bahan lain:
- Santan (yang harga RM1)
- 2 sudu makan kerisik
- Daging
- Ubi kentang
- 1 sudu teh serbuk kunyit
Cara masak gulai kari daging:
▶️ Mula-mula rebus dulu bahan rempah. Kemudian kisar sehingga halus.
▶️ Panaskan minyak ½ cawan dalam kuali/periuk dan masukkan bahan tumis. Tumis sampai naik bau.
▶️ Masukkan bahan rempah yang dah dikisar dan juga bahan tumbuk. Kacau sebati.
▶️ Masukkan daging yang dah dipotong kecil atau dihiris.
▶️ Kacau sebati dan biarkan sampai pecah minyak.
▶️ Masukkan santan dan juga air sebagai kuah. Boleh agak-agak kepekatan kuah yang anda mahu.
▶️ Masukkan kerisik.
▶️ Masukkan juga ubi kentang yang dipotong ikut suka.
▶️ Lepas tu masukkan 1 sudu serbuk kunyit.
▶️ Masukkan cili merah setangkai sebagai penambah bahan atau hiasan.
▶️ Biarkan kuah mendidih sampai daging dan kentang empuk.
▶️ Perasakan dengan garam.
BACA JUGA: Resepi Daging Masak Hitam 6 Bahan. Rasa Macam Daging Masak Pengantin, Serius Padu!
▶️ Biarkan mereneh dalam api yang kecil.
▶️ Boleh padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.
Sedap kuah kari rempah sendiri ni bila direneh lama. Kepekatannya terasa, lebih-lebih lagi dibuat cukup rasa lemak kuah dan juga pedas.
Kadang-kadang ada juga yang suka kari yang lebih cair atau lebih pekat. Lain orang lain citarasa. Anda boleh adjust bahagian santan dan juga air ikut citarasa kuah anda sendiri.
Besok kalau tak ada idea nak masak apa, bolehlah buat gulai kari daging guna rempah homemade sendiri ni. Pasti ada kelainannya. Selamat mencuba!