Inilah antara menu yang sekali je anda makan, pasti anda tak boleh lupa rasanya. Kari ayam mamak ala kandar yang pekat, padu dan beraroma! Kali ni resepi kari mamak ayam. Tukar angin sikit dari kari mamak ikan atau daging.
Sebenarnya bahan kari mamak ayam ni sama je macam kari mamak ikan dan lain-lainnya. Tukarkan binatangnya je. Kalau makan kuah penuh dan banjir dalam nasi, memang makan sampai leleh air mata punya. Macam anda lihat dalam gambar inilah, kecur liur dibuatnya kan?
Kari mamak ni macam biasalah. Kena ada aroma rempah yang padu, dan ada rasa bahang-bahangnya sikit. Lepas tu renehkan kuah sampai pekat melikat macam ni.
Kalau perasan kuahnya ada warna pekat hitam sikit. Itu ialah kicap yang dimasukkan sedikit untuk menaikkan rasa dan cantikkan warna kuah ala kuah kari kandar.
Selain ayam dan ikan, boleh juga kalau anda nak masakkan dengan daging, sotong, udang dan ketam. Memang resepi dan sukatan yang sama je digunakan. Jom lihat perkongsian dari Nadiah Hashim ni.
RESEPI KARI AYAM MAMAL ALA KANDAR
Untuk resepi ni, sukatan bahannya sesuai untuk 6 ketul ayam atau 6 potongan ikan. Kalau anda nak masak dengan binatang atau seafood yang lain, ianya sesuai untuk ½ kilo daging atau seberapa banyak sotong, ketam dan udang mengikut saiznya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam 6 ketul
- 8 biji bawang merah dihiris
- 2 ulas bawang putih (tumbuk halus)
- 2 inci halia (tumbuk halus)
- 1 batang serai ditumbuk hancur nampak empulur
- Cili api (kalau nak pedas)
- Rempah 4 sekawan
- Daun kari
- 1 biji tomato dibelah 8
- 4 sudu serbuk kari ikan
- 1 sudu serbuk cili
- 1 sudu garam masala (optional)
- Garam
- Gula
- Aji
- Kicap manis ABC
- Bendi
- Minyak ghee (sapi) sedikit untuk tumis
Cara masak kari ayam mamak ala kandar:
▶️ Panaskan minyak sapi (minyak sapi ni mahal. Jadi boleh campurkan dengan minyak biasa).
▶️ Masukkan bawang merah dan tumis sehingga layu.
▶️ Kemudian masukkan bawang putih, halia, serai, cili api, rempah 4 sekawan dan daun kari.
▶️ Tumis kesemuanya sehingga garing dan naik bau.
▶️ Kemudian masukkan tomato. Tumis sampai tomato lembik.
▶️ Masukkan serbuk kari ikan, serbuk cili dan garam masala. Tumis sehingga sebati sambil lenyek-lenyekkan tomato.
▶️ Garam masala inilah salah satu rahsia untuk rasa kuah yang lebih kaw.
▶️ Masukkan sedikit air dan kacau lagi.
▶️ Kemudian masukkan ayam. Biarkan ayam kecut.
▶️ Masukkan air lagi secawan.
▶️ Perasakan dengan garam, gula dan aji ikut rasa secukupnya.
▶️ Masukkan kicap pekat agak-agak ikut kepekatan yang anda suka. Rasa akan jadi padu.
▶️ Kacau selalu gunakan api yang sederhana. Pastikan api tak terlalu besar.
▶️ Waktu ni, kalau anda nak kuah lagi padu dan creamy, boleh masukkan yogurt original dalam 2-4 sudu. Mula-mula akan nampak berketul, tapi lama-lama dikacau akan sebati. Terpulang.
BACA JUGA: Resepi Gulai Ketam Kari Pedas Berapi Penang Style. Sedap Dengan Kuah Pekat!
▶️ Akhir sekali masukkan bendi atau apa sahaja bahan anda suka seperti cili besar, telur rebus, rebung dan sebagainya.
▶️ Sedia dihidangkan.
Kari mamak ala kandar ni, kalau nak kuah lagi pekat dan terangkat, boleh masak atau renehkan kuah dalam sejam ke atas. Apa-apa pun, kepetakan kuah ni bergantung pada selera anda.
Bukan takat makan dengan nasi je, nak cicah dengan roti canai, roti biasa, lempeng, puri dan sebagainya pun boleh juga. Memang kena dengan selera.
Salah satu tips lagi nak rasa sedap kari ayam mamak ala kandar ni, disarankan guna serbuk kari ikan berbanding serbuk kari daging. Sebab rasanya lebih lembut dan kurang rasa pahit. Selamat mencuba.