Kalau dapat makan gulai ketam kari dengan kuahnya pekat melikat, confirm makan bertambah-tambah. Nak-nak pula ketam tu besar, segar dan banyak isi. Dalam banyak-banyak masakan, resepi gulai ketam kari inilah antara menu masakan ketam yang paling sedap untuk dinikmati.
Sebab ketam ni antara seafood yang ada isi yang manis, dan enak bila dimasak sebati dengan kari. Tambah lagi kari tu kaya dengan bahan-bahan rempah yang sedap dan wangi. Nikmat makan kari ni bergantung pada kepekatan kuahnya.
Sebab tu orang kata kalau nak masak kari ni kena pekat dan terasa aroma kari dan rempah. Kalau teringin nak masak gulai ketam, apa kata jom buat resepi gulai ketam kari pedas berapi style penang ni.
Resepi ni ada bahan rempah yang pelbagai untuk menaikkan lagi rasanya. Dan pedas berapi tu datangnya dari rasa bahang tu sendiri.
Jom ikuti perkongsian resepi dari Saiful Nasuha ni. Boleh jadikan juadah istimewa makan tengah hari anda sekeluarga. Dijamin kuahnya sedap sampaikan hirup kuahnya sehingga licin.
RESEPI GULAI KETAM KARI
Dalam pilih ketam ni, seeloknya pilih ketam besar yang ada banyak isinya. Dan lagi sedap kalau ianya masih segar sebab lagi sedap dan manis isinya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan tumis:
- 6 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- ½ inci halia diketuk
- 4 pelepah daun kari (2 pelepah untuk tumis dan 2 pelepah lagi untuk masukkan di akhir nanti)
- ½ batang kulit kayu manis
Bahan tumbuk halus:
- 1 sudu kecil jintan manis biji
- 1 sudu kecil jintan putih biji
- 1 sudu kecil lada hitam
Bahan kisar halus:
- Segenggam kelapa parut (yang warna putih)
Bahan lain:
- 2 bungkus rempah kari ikan Baba’s
- 1 ½ sudu besar rempah kari daging Baba’s
- Santan segar RM3
- 1 keping asam keping saiz sederhana
- Garam dan aji secukupnya
Cara masak gulai ketam kari:
▶️ Bersihkan ketam dan belah 2.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali. Kemudian masukkan bahan tumis dan tumis sehingga naik bau dan warna kekuningan.
▶️ Dalam 1 mangkuk lain, bancuhkan rempah kari dengan sedikit air panas. Di dalamnya campurkan juga jintan manis, jintan putih dan lada hitam yang ditumbuk halus.
▶️ Masukkan bancuhan kari ni ke dalam kuali dan kacau sebati.
▶️ Tumis sehingga pecah minyak.
▶️ Kemudian masukkan kelapa parut yang dikisar halus dan juga santan segar.
▶️ Kacau sehingga sebati dan biarkan kuah mendidih.
▶️ Lepas tu masukkan asam keping dan garam. Biarkan masak santannya seketika dengan api yang perlahan.
▶️ Bila santan dah masak mesra, masukkan ketam.
▶️ Biarkan terus mendidih. Dan renehkan dengan api yang perlahan sampai ketam masak dan kuahnya pekat.
BACA JUGA: Resepi Sambal Ketam Sedap Dimasak Dengan Telur Pecah. Padu Habis. Wajib Cuba!
▶️ Boleh hiaskan dengan cili besar dan juga daun kari.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan.
Kuah yang pekat ni kalau dihirup memang sedap. Apatah lagi kalau gaulkan dengan nasi panas. Bahang dan pekatnya makin terasa.
Nak hidangan yang lengkap, boleh makan sekali dengan sambal belacan dan juga ulaman seperti timun. Lagi membangkitkan selera. Selamat mencuba resepi gulai ketam kari ini.