Kalau sebut je ikan siakap, terus terbayang masak 3 rasa atau stim. Musim Pkp ni jarang dapat makan kat luar. Kadang-kadang tu sampai terliur bila terkenangkan masakan ikan siakap 3 rasa sedap dan padu yang selalu makan kat restoran Thai.
Tak payah pening-pening kepala. Apa kata jom masak sendiri ikan siakap 3 rasa ni. Bila masak sendiri ni kadang-kadang lebih menyeronokkan dan jimat berbanding makan di luar. Nak kuah lebih, atau nak letak banyak nenas, semua boleh adjust ikut citarasa sendiri.
Kali ni jom tengok perkongsian resepi ikan siakap 3 rasa yang sangat simple dan sedap oleh Puan Anita Sahara ni. Tak perlu bahan yang banyak. Masak pun sekejap je siap. Tapi rasa dia sedap dan cukup rasa masam, manis dan masinnya.
Ikan siakap tu digorengkan garing. Dan bila dicurahkan kuah 3 rasa yang terlajak sedap tu, memang puas hati. Makan seekor ikan untuk 1 keluarga memang tak cukup. Wajib masak lebih!
Kalau dah nama masakan siakap 3 rasa, jadi kenalah ada nenas. Untuk resepi ni kita letak lebih sikit nenas tu, baru la umpphh rasa dia. Jom lihat resepinya.
RESEPI IKAN SIAKAP 3 RASA
Dalam resepi ni, sukatan bahan-bahannya anda boleh agak-agak sendiri ikut berapa banyak kuah anda nak masak. Kadang-kadang tu kalau nak masak kuah ni bergantung pada saiz ikan juga supaya cukup. Ada juga yang suka kuah lebih walaupun ikannya kecil. Ikut citarasa anda.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan potong:
- Nenas yang dipotong dadu
- Bawang merah besar 1 biji dipotong dadu juga
- Tomato 1 biji dipotong dadu
- Cili padi yang diracik halus
Bahan kisar:
- Bawang besar 2 biji
- Bawang putih 4 ulas
- Halia 1 inci
- Cili kering 3 sudu besar (kisar lain)
Bahan-bahan lain:
- Sos tiram 2 sudu besar
- Sos cili 3-4 sudu besar
- Garam dan gula secukup rasa
- Perasa ikut suka
Bahan ikan:
- Ikan siakap
- Garam sedikit
- Tepung jagung 2 sudu besar
Cara masak ikan siakap 3 rasa:
▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali. Lepas tu masukkan bahan kisar bawang besar, bawang putih dan halia. Tumis bahan kisar ni hingga naik wangi.
▶️ Kemudian tambahkan cili kering kisar dan tumis sampai terbit minyak.
▶️ Masukkan pula sos tiram dan sos cili. Dan kacau sehingga sebati.
▶️ Kemudian masukkan sikit air iaitu dalam 200 ml. Biarkan sekejap atau sampai pecah minyak.
▶️ Seterusnya masukkan cili padi yang diracik dan bawang merah yang didadukan tadi.
▶️ Dan selepasnya masukkan pula nenas dan tomato.
▶️ Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
▶️ Kacau sehingga sebati. Dah pekat, bolehlah padamkan api.
▶️ Dah siap tu jom goreng ikan pula.
▶️ Lepas dah cuci bersih ikan, lumurkan dengan garam dan juga tepung jagung. Kemudian goreng sehingga garing.
▶️ Dah siap boleh angkat. Dan curahkan kuah 3 rasa tadi.
▶️ Boleh dihidangkan!
BACA JUGA: Ikan Cencaru Sumbat Sambal Serius Sedap! Tak Cukup Seekor Seorang. Siap Meratah!
Tengok je hidangannya, dah rasa kat tekak dah menu ni. Boleh agak. Kuah dan ikan tu pasti lazat. Kalau lihat-lihat balik resepi siakap 3 rasa, selalunya orang ada masukkan serai, tomato, daun ketumbar dan sebagainya.
Tapi resepi ni tiada. Menu simple ni rupanya sedap juga. Malah, mudah kalau nak masak. Pada anda yang dah lama cari resepi masakan ikan siakap 3 rasa sedap dan padu tapi simple, resepi ni memang sesuai untuk anda. Jangan lupa mencubanya!