Segalanya Tentang Makan..

Sedapnya Buat Paprik Ayam Campur Seafood, Dengan Kuah Pekat Likat. Bahan Simple Je.

0 6,943

Kalau makan paprik sesedap ni, pasti anda tak pandang lauk lain lagi dah. Mau makan nasi bertambah. Paprik ni kalau makan kat kedai, sama ada paprik ayam atau paprik seafoodlah yang kita order kan. Bila masak sendiri ni, boleh buat paprik ayam campur seafood sekaligus terus.

Puas makan dengan keluarga. Siapa yang nak makan ayam tu bolah ambil ayam je. Yang suka seafood, makan seafood. Dengan kuah pekat likat macam ni, memang tak boleh tahan kalau tengok je. Mesti bertambah nasi. Tak perlukan lauk lain lagi dah.

Nak buat masakan paprik ni, bahan yang mesti ada ialah daun limau purut. Daun limau inilah yang menaikkan aroma masakan paprik. Kalau tak ada tak sah.

Mudah je sebenarnya nak buat paprik ni. Boleh cuba resepi yang dikongsikan oleh Zura Dzn. Bahan sosnya cumalah sos tiram je.

Tapi apa yang buatkan istimewa resepi ni ialah tumisan ayam yang dicampurkan sedikit air, dan juga tumisan cili kering. Bahan-bahan ni yang memberikan rasa kelainan dalam masakan.

 

RESEPI PAPRIK AYAM CAMPUR SEAFOOD

Masakan paprik ni mestilah berkuah. Tak pernah lagi ada paprik yang kering. Cuma kuah lebih atau kurang tu boleh ditentukan mengikut citarasa anda. Untuk pekatkan kuahnya tu, perlulah campurkan sedikit bancuhan air tepung jagung.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Ayam (dipotong kecil-kecil)
  • Udang
  • Sotong
  • Kobis bunga
  • Kacang panjang
  • Lobak merah
Bahan tumis:
  • 1 biji bawang putih (dihiris)
  • 1 biji bawang merah (dihiris)
  • 3-4 biji cili padi (dihiris)
  • 1 sudu cili kering
  • 1 biji bawang holland (potong 8)
  • Daun limau purut
  • Sos tiram
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • ½ sudu tepung jagung (bancuhkan dengan air sedikit)

Cara masak paprik ayam campur seafood:

▶️ Mula-mula tumiskan ayam dengan sikit minyak.

▶️ Lepas tu masukkan air sikit dan kacau sebati.

▶️ Bila agak-agak ayam dah kecut sikit, tutup api dan angkat ayam dengan air rebusannya tu sekali.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan tumis cili kering sampai naik bau.

▶️ Seterusnya masukkan bawang putih, bawang merah, daun limau purut dan cili padi yang dihiris. Tumis sampai naik bau wangi.

▶️ Kemudian masukkan ayam yang direbus tadi dengan air rebusannya tu sekali. Ini akan jadi kuahnya.

▶️ Masukkan sos tiram dan juga kicap sedikit untuk cantikkan warna. Boleh agak-agak kuantitinya.

▶️ Masukkan garam dan serbuk perasa. Tak perlu berlebihan sangat sebab sos tiram dah berasa.

▶️ Masukkan seafood.

▶️ Lepas tu masukkan bancuhan air tepung jagung untuk pekatkan kuah.

▶️ Akhir sekali masukkan sayuran dan bawang holland. Tutup sekejap kuali supaya sayuran sedikit layu dan kuahnya sebati.

 

BACA JUGA: Ayam Masak Sos Tiram Madu. Lebih Sedap Perap Dan Bakar Ayam Dulu. Serius Padu!

 

▶️ Dah siap boleh padamkan api.

▶️ Sedia untuk dihidang.

Makan dengan nasi panas-panas cukup menyelerakan. Paprik ni buat makan malam memang sedap. Cukup dengan ayam, seafood dan sayuran dalam satu masakan.

Bahan pun sebenarnya ringkas je. Kebanyakan bahan yang memang sedia ada di dapur. Rasanya pula memang tak perlu cakap lagilah. Makan boleh sampai menjilat jari.

Kalau nak pedas, boleh lebihkan cili padi. Tapi buat macam ni pun dah cukup sedap dah. Anak-anak mudah nak menjamunya sekali. Jangan lupa cuba paprik ayam campur seafood ni untuk hidangan keluarga. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.