Segalanya Tentang Makan..

Resepi Ayam Kicap 3 Budak Gemuk Sedap Menyelerakan. Buat Sekali Sambal Geseknya!

0 2,123

Rugi kalau anda tak cuba resepi ni! Pernah makan tak ayam kicap 3 budak gemuk? Kalau di Selangor, KL dan Negeri Sembilan memang laku keras. Simple je hidangannya sebenarnya. Hanya ayam kicap dan sambal gesek. Tu pun sangat menyelerakan. Beli sekali memang confirm repeat.

Yang buatkan sedap ayam kicap tu sebab rencahnya wangi. Dan warnanya cantik berkilat. Masakan kicap macam ni memang lebih sedap kata orang tu. Selalu kalau kat rumah kita biasa masak ayam kicap berkuah yang cair je kan.

Resepi ayam kicap 3 budak gemuk ni tak pedas. Anak-anak pun boleh makan. Sebab tu hidangannya datang dengan sambal gesek yang cukup padu dan pedas. Memang kombinasi terbaik dengan ayam masak kicap.

Kalau anda nak cuba, boleh ikut resepi yang dikongsikan oleh Naeamah Balqis ni. Mudah je nak buatnya. Walaupun rencahnya nampak berbeza dengan masak kicap biasa, tapi bahan yang diperlukan sikit je.

Masak kuah pekat-pekat dan likat. Syaratnya lebihkan bahan dan kurangkan air atau tak masuk air langsung. Hasilnya pasti buatkan anda terliur.

 

RESEPI AYAM KICAP 3 BUDAK GEMUK

Resepi ni letakkan sikit cili padi dalam bahan tumbuk untuk bagi pedas. Kalau anda tak nak pedas boleh kurangkan. Atau nak pedas lagi boleh lebihkan. Ikutlah selera anda.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Ayam
  • Serbuk kunyit
  • Garam
  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • ½ inci halia
  • 4-5 batang cili api (ikut kepedasan)
  • 2 tangkai daun kari
  • 3 sudu sos tiram
  • Kicap manis

Cara masak ayam kicap 3 budak gemuk:

▶️ Mula-mula potong ayam kecil-kecil. Lebih sedap makan bila ayam potong kecil.

▶️ Lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam.

▶️ Goreng ayam sampai garing. Kalau nak goreng separa garing untuk rasa lebih juicy pun boleh. Ikut selera anda. Ketepikan.

▶️ Tumbuk bawang putih, bawang merah, halia dan cili padi. Boleh agak-agak kuantiti bawang.

▶️ Tumbuk jangan terlalu lumat.

▶️ Panaskan minyak ayam tadi dalam kuali.

▶️ Masukkan bahan yang ditumbuk tadi dan juga daun kari.

▶️ Tumis sampai garing keperangan.

▶️ Kemudian masukkan sos tiram dan kacau sebati.

▶️ Masukkan pula kicap manis. Boleh agak-agak banyak mana.

▶️ Masukkanlah kicap ni sikit dulu. Sebab nanti kalau kurang, masa dah masukkan ayam masih boleh tambah kicap.

▶️ Barulah masukkan ayam yang telah digoreng tadi.

▶️ Gaul sekata dengan rencah kicap tadi.

▶️ Dah siap, boleh padamkan api.

▶️ Sedia untuk dihidangkan dengan sambal gesek.

Bahan-bahan untuk sambal gesek:
  • 10 biji cili api hijau
  • 10 biji cili api merah
  • 1 biji bawang holland
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci belacan
  • Garam dan gula secukupnya

Cara buat sambal gesek:

▶️Tumbukkan kesemua bahan-bahan separuh lumat.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali. Jangan banyak sangat minyak.

▶️ Dan tumis bahan tumbuk tadi.

▶️ Biarkan cili masak.

▶️ Kacau nampak macam kering sikit selama 5 minit, atau ikut tahap cantik macam mana anda nak untuk sambal ni.

▶️ Lepas tu perasakan dengan garam dan gula.

▶️ Dah siap.

 

BACA JUGA: Resepi Nasi Ayam Sedap, Mudah Dan Cepat. Berselera Tengok. Menu Istimewa Hujung Minggu.

 

Ada sesetengah resepi tak masak pun sambal gesek ni. Nama pun sambal gesek kan. Tapi resepi ni masak untuk naikkan lagi rasanya. Ikutlah mana yang anda mahu. Masa nak hidang, kalau suka masam boleh perahkan limau nipis sikit.

Kepedasan sambal digabungkan dengan ayam masak kicap tadi memang sedap makan dengan nasi panas-panas. Berpeluh-peluh makan. Kena ready air sejuklah siap-siap. Pedas sambal ni tak boleh bawa bincang.

Kalau anda teragak ayam kicap 3 budak gemuk, lepas ni bolehlah anda buat sendiri. Mudah je kan bahannya rupanya. Jangan lupa cuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.