Shout out kepada semua peminat nasi 3 budak gemuk yang teringin nak masak hidangan ni sendiri! Ini resepi ayam kicap ala 3 budak gemuk yang dikongsikan oleh Hana A Razak yang anda boleh cuba. Rasanya mungkin 100% tak sama tapi dapat menikmati lauk yang hampir seakannya pun boleh juga kan!
Bagi yang tak pernah dengar tentang nasi 3 budak gemuk mesti tertanya-tanya masakan apa yang orang selalu sebut ni. 3 budak gemuk sebenarnya satu perniagaan nasi putih, ayam masak kicap dan sambal pedas gesek yang viral.
‘Ala, masak kicap je pun. Apa yang special sangat.’ Mesti ada terfikir macam tu kan. Tapi kalau tak ada keistimewaannya, masakan pula menu ni viral dan jadi fenomena. Lauk ayam kicap 3 budak gemuk ni ada rasa tersendiri. Sedap, pekat dan beraroma!
Mungkin ada bahan istimewanya yang dimasukkan untuk rasa kelainan berbanding kebanyakan resepi ayam masak kicap.
Tapi bila jumpa resepi ni, jadi tak sabar nak cuba masak dan nilai sendiri rasanya. Kalau hampir sama, bolehlah lepas ni buat sendiri je.
RESEPI AYAM MASAK KICAP ALA 3 BUDAK GEMUK
Kalau tengok gambarnya, memang kecur air liur. Rupanya tak tumpah seperti hidangan masak kicap 3 budak gemuk.
Dan bila lihat senarai bahannya, boleh agak macam mana rasa resepi ni. Pekat, ada rasa bahang pedas dan wangi!
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam ½ ekor (digoreng dulu dengan kunyit dan garam)
- Daun kari 5-6 tangkai
- Bawang besar 2 biji
- Bawang putih 3 biji
- Halia ½ inci
- 3 sekawan (1 sup bunjut jika ada)
- Rempah kari ayam/daging ½ paket
- Kicap pekat ½ sudu kecil
- Kicap manis 2 sudu
- Gula perang ½ sudu
- Asam 1 keping
- Sedikit garam
Cara masak ayam masak kicap ala 3 budak gemuk:
▶️ Mula-mula bersihkan ayam, lumurkan dengan sikit serbuk kunyit dan garam.
▶️ Kemudian goreng garing. Angkat dan ketepikan.
▶️ Gunakan minyak menggoreng ayam tadi. Tapi keluarkan sikit kalau minyak terlalu banyak.
▶️ Kisar bawang putih, bawang besar dan juga halia sehingga hancur.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan masukkan daun kari dahulu. Tumiskannya sampai naik bau.
▶️ Kemudian baru masukkan bahan kisar tadi dan tumis lagi sehingga garing dan naik bau wangi.
▶️ Masukkan 3 sekawan.
▶️ Masukkan bancuhan serbuk kari dengan sedikit air.
▶️ Tumisnya sehingga tebit minyak.
▶️ Kemudian masukkan kicap pekat. Pastikan masuk sikit je. Kalau terlebih takut nanti rasa pahit. Cukup sekadar nak bagi warna hitam yang cantik.
▶️ Lepas tu masukkan pula kicap manis.
▶️ Masukkan gula perang pula nak seimbangkan rasa.
▶️ Jangan lupa perasakan dengan garam.
▶️ Kacau sehingga sebati. Dan biarkan mendidih sekejap.
▶️ Bahan akhir sekali ialah asam keping.
▶️ Dah cukup berasa, masukkan ayam dan gaul sekata.
▶️ Dah sebati, boleh padamkan api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Tengok je boleh tergoda. Lagi mantap rasanya bila seladak kicap tu dibuat kering dan pekat dengan cukup berasa. Sekarang boleh fahamlah kenapa orang gilakan sangat masakan ayam kicap 3 budak gemuk ni.
BACA JUGA: Cara Buat Sambal Ketul Ikan Bilis Padu, Sedap Dan Pedas Sampai Menitis Air Mata!
Lepas tu hidangkan pula dengan sambal geseknya yang pedas dan berapi. Memang kombinasi lauk terbaik ayam masak kicap manis dan juga sambal gesek pedas ni. Makan sampai meleleh air mata!
Bolehlah nanti cuba resepi ni untuk hidangan sekeluarga. Sesuai sangat kalau dalam keluarga ada kanak-kanak dan dewasa.
Kanak-kanak kecil yang tak makan pedas boleh makan ayam kicap manis je. Ibu bapa pula boleh makan dengan sambal gesek untuk melengkapkan selera. Selamat mencuba!