Biasanya kalau nak makan nasi kandar, antara masakan ayam yang menjadi pilihan ialah ayam masak bawang ni. Resepinya berbeza dengan ayam masak merah atau ayam sambal. Ayam masak bawang ni ada rasanya yang tersendiri dan lebih beraroma dan wangi. Paling padu ialah resepi ayam masak bawang ala mamak Pulau Pinang!
Kalau ke Penang tu, tak sah kalau tak menyinggah ke nasi kandar. Ayam masak bawang ni rasanya lebih istimewa. Kalau dapat masakannya yang mempunyai kuah yang lebih pekat dan penuh selupat pada ayam, memang lagi sedap dan menyelerakan lagi-lagi bila digaulkan dengan nasi.
Kenapa ianya dinamakan ayam masak bawang ialah kerana bawang besar yang dimayang akan digoreng dengan banyak kemudian ditaburkan dalam masakan sebelum padamkan api. Jadi, rasa kuah selupat ayam yang penuh dengan aroma rempah dan cukup rasa masam, manis dan pedas akan lebih sedap bila disebatikan dengan bawang yang digoreng ni.
Kalau anda nak cuba makan ayam masak bawang ni, boleh cuba resepi yang dikongsikan oleh Che Atie. Simple dan mudah je resepi dan cara masakannya. Kalau makan dengan nasi biasa atau nasi berperisa seperti nasi minyak atau nasi tomato memang sesuai dan sangat membangkit selera.
Resepi ayam masak bawang ni bukan je sedap dengan aroma rempah. Malah dalam masakannya juga ada dimasukkan daun kari, daun pandan, sos cili, sos tomato dan macam-macam lagi yang memberikan rasa yang pelbagai dan lebih wangi.
RESEPI AYAM MASAK BAWANG ALA MAMAK PULAU PINANG
Apa yang buatkan lauk ni sedap berperisa ialah kebanyakan bahannya terutama rempah dan daun kari tu ditumis sehingga naik bau. Kalau ikut resepi ni, rasa kuahnya tu tidaklah menekankan rasa pedas, tapi lebih kepada rasa pedas-pedas manis.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Bawang besar sebiji yang dipotong mayang halus
- Sehelai daun pandan yang dipotong 4
- Setangkai daun kari
- Ayam yang dah siap dicuci dan dilumurkan kunyit serbuk dan garam sedikit
- 4 sekawan
- Pes bawang putih dan halia dikisar
- Pes bawang besar 1 labu yang dikisar
- Serbuk cili 2 sudu
- Serbuk kunyit 1 sudu kecil
- Serbuk jintan manis dan jintan putih 1 sudu kecil
- Serbuk kari daging 1 sudu
- ½ sudu garam masala
- Sos cili, sos tomato dan sos tiram (1 sudu setiapnya)
- Garam dan gula secukup rasa
Cara buat ayam masak bawang ala Penang:
▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Kemudian goreng bawang besar yang dimayang tadi dalam minyak panas. Goreng sehingga kekuningan. Dan kemudian toskan.
▶️ Dengan gunakan minyak tadi, goreng ayam pula. Goreng ayam ¾ masak. Selepas tu angkat dan toskan.
▶️ Lepas tu, keluarkan minyak gorengan ayam tadi dari kuali. Tinggalkan sesenduk je untuk menumis.
▶️ Panaskan minyaknya. Dan tumis daun pandan, daun kari dan 4 sekawan.
▶️ Setelah dah naik bau wangi, masukkan pes bawang putih dan halia. Kacau sebati.
▶️ Dan masukkan juga pes 1 biji bawang besar dan kacau sebati juga.
▶️ Kemudian baru masukkan air untuk kuah.
▶️ Dalam pada nak mendidih kuahnya tu, masukkan serbuk cili, serbuk kunyit, serbuk jintan manis, jintan putih, serbuk kari daging dan 1/2 sudu garam masala. Kacau sekata.
▶️ Kemudian perasakan degan garam dan gula. Untuk resepi ni gunakan gula perang. Ikut berapa banyak nak masukkan.
BACA JUGA: Sambal Sotong Kembang Sedap Dan Mudah. Sedap Dimakan Dengan Nasi Lemak Dan Nasi Putih!
▶️ Kemudian masukkan ayam yang dah digoreng tadi.
▶️ Dan masukkan juga bawang yang digoreng awal-awal tadi. Gaul sehingga sekata.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan!
Kalau tengok je pun dah terliur. Apatah lagi nak rasa kuah bawangnya yang penuh rasa sedap, manis, masam dan pedas sedikit. Masakan ni bukan biasa-biasa. Rempah yang ditumis akan menyedapkan rasa dan baunya.
Kalau nak buat hidangan istimewa untuk keluarga pada hujung minggu, bolehlah buat resepi ayam masak bawang ala Pulau Pinang ni. Pasti makan sampai bertambah-tambah. Selamat mencuba!