Dari hari ke hari, kadang-kadang tu pening fikir nak masak apa untuk keluarga. Kalau pergi ke pasar tu dan jumpa sotong kembang, apa kata jom masak sambal sotong kembang sedap dan simple ni.
Nama je simple, tapi sedap dan berselera juga makan. Sambal sotong kembang ni kalau makan dengan nasi putih biasa pun dah sedap. Apatah lagi kalau dimakan dengan nasi lemak. Boleh makan sampai dua tiga pinggan.
Ada sesetengah orang tak suka sotong kembang ni sebab rasa dan tekstur dia berbeza dengan sotong biasa. Tapi bila dah dimasak sambal, rasanya memang sedap untuk dinikmati.
Jom ikut resepi sambal sotong kembang sedap dan mudah yang dikongsikan oleh Muhammad Akmal Hakim ni. Senang betul bahan-bahan dan cara memasaknya.
Bagi yang baru nak belajar masak, boleh buat resepi ni sebab bahan tak banyak, dan cara masak pun tak rumit. Jom lihat resepinya.
RESEPI SAMBAL SOTONG KEMBANG
Sebelum dimasak sambal, sotong kembang ni biasanya perlu direbus dulu untuk lembutkannya. Tak lama pun, rebus dalam 5 minit je.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Sotong kembang dalam 1 kilo
- Cili kering 2 genggam (buang bijinya dan rebus siap-siap)
- Bawang putih 6-8 ulas
- Bawang merah kecil 8-10 biji
- 2-3 keping asam keping
- Garam dan gula secukup rasa
Cara masak sambal sotong kembang:
▶️ Mula-mula, cili kering yang dah siap direbus tu masukkan ke dalam blender bersama dengan bawang merah kecil dan bawang putih. Kisar sehingga halus.
▶️ Seterusnya panaskan minyak dalam kuali. Minyak tu lebih kurang ½ cawan. Jangan terlalu lebih atau terlalu kurang.
▶️ Kemudian masukkan bahan yang dah dikisar tadi dan tumis dengan cara mereneh.
▶️ Dengan api perlahan, tutup kuali dengan penutup sekejap untuk reneh sambal tu sehigga garing.
▶️ Selepas sambal dah pecah minyak, masukkan gula dalam 4 sudu supaya sambal tu jadi karamel. Kacau sebati dan biarkan sehingga sambal masak.
▶️ Dah masak, padamkan api dan rehatkannya sekejap.
▶️ Dalam pada tu, rebuskan sotong kembang.
▶️ Mula-mula potong sotong ikut saiz yang anda suka. Tapi jangan potong terlalu halus sebab nanti masa dimasak sotong akan kecut.
▶️ Kemudian rebuskan sotong dalam air yang mendidih lebih kurang dalam 5 minit.
▶️ Dah siap rebus, angkat dan toskan. Selepas tu masukkan dalam kuali sambal tadi.
▶️ Buka semula api sambal dengan perlahan je. Dan sambung masak sambal tu bersama sotong.
▶️ Dan bahan terakhir sekali masukkan asam keping dan perasakan dengan garam secukup rasa.
▶️ Biarkan sotong dan sambal sebati. Tak perlu tambah air lagi dah sebab sotong tu mengeluarkn air. Namun kalau nak berkuah lebih, boleh tambah sikit ikut citarasa anda.
▶️ Dah siap. Bolehlah hidangkan!
BACA JUGA: Resepi Ayam Serai Sweet Sour. Sedap Sangat, Makan Sampai Menjilat Jari!
Sedapnya tengok sambal sotong kembang ni. Kalau dapat buat pedas-pedas, mesti lagi sedap. Selama ni kalau muak masak sambal dengan udang, ikan, dan ayam, bolehlah masak dengan sotong kembang ni pula.
Masaknya pun senang je dan proses rebusnya pun tak lama. Lepas ni kalau buat nasi lemak, bolehlah buat sambal sotong kembang sedap dan padu ni sebagai salah satu lauknya. Selamat mencuba!