Sesekali teringin pula nak makan lauk ayam berkuah selain dari gulai, kari, dan sebagainya. Kalau bukan lauk biasa kita masak, masakan berkuah apa agaknya yang sedap ya? Apa kata jom try resepi ayam masak cili kering yang nampak menyelerakan ni!
Sekali pandang nampak macam masak black pepper. Mungkin ini memang masakan ala black pepper. Tapi versi ada cili kering yang timbul-timbul dari kuahnya. Kalau tak cuba tak tahu sedap ke tak kan.
Bila cuba, rupanya memang sedap! Menu ni simple je sebenarnya, tapi bila tumiskan sekali bawang holland, cili kering dan halia, wangi semerbak baunya.
Lepas tu, masukkan pula ayam yang dah diperap dengan pelbagai sos. Lagilah padu rasanya! Anda boleh cuba buat untuk hidangan anak-anak dan keluarga. Pasti mereka suka.
Perkongsian resepi ni dari Puan Maryam Hussain. Senang je cara masaknya. Sekejap je dah siap. Bahan-bahan pun simple dan memang dah sedia ada di dapur.
RESEPI AYAM MASAK CILI KERING BERKUAH
Resepi ni untuk ½ ekor ayam yang dipotong kecil. Bergantung juga berapa banyak kuah anda nak buat. Boleh agak-agak. Ayam ni nanti perlu diperapkan dulu dengan bahan-bahannya.
Bahan yang diperlukan:
- Ayam (siap dicuci dan dipotong)
- Bawang holland 1 biji dipotong besar
- Halia 1 inci
- Cili kering 1 genggam
- Kentang 1 biji
- Kicap lemak manis
- Sos black pepper
- Sos tiram
- Sos ikan
- Lada hitam
- Lada sulah
- Daun sup
Cara buat ayam masak cili kering berkuah:
▶️ Potong ayam kecil-kecil, kemudian masukkan dalam mangkuk.
▶️ Masukkan sos black pepper, kicap lemak manis, sos tiram, sos ikan dan lada hitam.
▶️ Gaulkan, kemudian perap. Ketepikan.
▶️ Seterusnya, panaskan sikit minyak dalam kuali.
▶️ Masukkan bawang holland, halia, cili kering dan kentang. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Kemudian, masukkan ayam yang dah diperap tadi bersama dengan kesemua sosnya. Gaul sebati sehingga ayam masak.
▶️ Selepas tu masukkan lada sulah, garam dan gula secukup rasa. Kena rasa dulu sebab perapan ayam tu dah ada rasa masin. Dan kalau tak nak letak gula pun tak apa.
▶️ Tambahkan sikit air untuk jadikan kuah. Boleh adjust nak kuah banyak mana.
▶️ Biarkan kuah sebati dan sedikit pekat, lepas tu dah boleh padamkan api.
▶️ Taburkanlah sikit daun sup sebagai hiasan.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Ayam Panggang Black Pepper Sedap Dan Juicy. Rasa Perapannya Sampai Ke Dalam Isi!
Kalau hidangkan dengan nasi panas ni, boleh naik selera. Masakan ni sedap sebab ada rasa bahang lada hitam, masam, manis, pedas dan ada aromanya tersendiri.
Masakan pun simple. Bagi yang baru nak belajar masak pun boleh buat menu ni. Lepas ni kalau nak buat lauk senang dan cepat untuk disediakan, bolehlah masak resepi ayam masak cili kering berkuah enak ni. Selamat mencuba!