Segalanya Tentang Makan..

Resepi Ayam Masak Kicap Style Utara Mudah Dan Simple. Ada Rahsia Untuk Kuah Yang Sedap!

0 3,218

Sebut je masakan kicap, ini antara menu masakan yang tak lekang dek zaman dari dulu lagi. Siapa je yang tak pernah makan masakan kicap ni kan? Tapi bila dah dimasak sejak sekian lama, mulalah ada pelbagai versi masakan kicap. Kali ni saya nak bawakan resepi ayam masak kicap style utara.

Sememangnya resepi ni nampak istimewa sebab bahan yang diperlukan simple je, tapi cukup rasa pedas, masam, manis dan wangi dalam satu hidangan. Perkongsian resepi ni ialah dari Liza Idris. Tak rugi cuba sebab terbukti mendatangkan selera bila lihat gambarnya je.

Rahsia resepi masak kicap ni sedap ialah bergantung pada kuahnya. Kuah tu tak perlu dimasak terlalu pekat. Yang lagi menariknya ialah bahan tumisannya yang dimasukkan sekali 4 sekawan untuk berikan aroma wangi dalam masakan.

Ada sesetengah resepi lebih sukakan masakan kicap yang pekat dan sedikit kering. Untuk resepi ni dibuat versi berkuah dan tak terlalu pekat, tapi rasanya tetap padu dan sedap.

Buat ibu-ibu yang nak sediakan makanan simple tapi sedap untuk keluarga, bolehlah cuba resepi ni. Jom lihat cara penyediaannya.

 

RESEPI AYAM MASAK KICAP STYLE UTARA

Rahsia untuk hasil masakan kicap yang sedap ialah jenis kicap yang digunakan. Sebaiknya jangan gunakan langsung kicap pekat. Guna kicap biasa je.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Ayam ½ ekor
  • Bawang besar 1 biji
  • Bawang putih 4 ulas kecil
  • Halia 1 ½ inci
  • Cili boh 2 sudu besar
  • Asam jawa ½ sudu besar
  • 4 sekawan (bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga)
  • Kicap biasa 7 sudu besar (kicap yang digunakan ialah kicap Mudim. Pakai kicap ni sahaja)
  • Cili benggala (boleh juga kalau nak pakai cili hijau biasa)
  • Bawang holland 1 biji

Cara masak ayam masak kicap style utara:

▶️ Mula-mula cuci bersih ayam kemudian lumurkan sedikit serbuk kunyit dan garam.

▶️ Goreng ayam sehingga garing. Kalau nak goreng yang kurang garing atau juicy sikit pun boleh.

▶️ Kemudian angkat dan toskan. Ketepikan dulu.

▶️ Kisarkan bawang merah, bawang putih dan halia. Kalau nak tumbuk pakai lesung pun boleh.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian masukkan bahan kisar ni.

▶️ Masukkan juga 4 sekawan dan tumis kesemua bahan ni sehingga garing dan naik bau.

▶️ Seterusnya masukkan cili boh dan terus tumis sehingga cili masak dan terbit minyak.

▶️ Kemudian masukkan bancuhan air asam jawa. Biarkan kuah mendidih sekejap.

▶️ Lepas tu masukkan air dalam 2 ke 3 cawan. Boleh agak-agak. Dan biarkan lagi kuah mendidih dan sebati.

▶️ Kemudian masukkan ayam yang dah digoreng tadi. Gaulkan sekata.

▶️ Waktu tengah mendidih, masukkan kicap. Biarkan lagi mendidih dan sebati.

▶️ Kemudian masukkan pula lada benggala.

▶️ Akhir sekali taburkan bawang holland yang dihiris.

 

BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Rose Sedap Dan Pedas Kering. Lagi Enak Dari Ayam Masak Merah!

 

▶️ Boleh juga kalau nak masukkan tomato!

▶️ Dah siap, boleh padamkan api.

▶️ Sedia untuk dihidangkan!

Nyummyy. Ayam masak kicap berkuah ni memang sedap. Lagi-lagi yang pedas dan beraroma macam ni. Sebab tu ramai yang suka masak kicap versi berkuah sebab boleh digaulkan dengan nasi. Cukup rasa pedas, masam dan manis.

Kalau lihat resepi lain ada yang gunakan banyak lagi bahan untuk penambahan rasa. Untuk naikkan lagi aroma bukan sekadar masukkan 4 sekawan, siap ada serbuk jintan dan kari.

Namun resepi ni simple je untuk anda yang nak mudah dan cepat masak. Nanti bolehlah mencubanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.