Daging masak merah ni memang kegemaran semua orang. Tak sah kalau tak order kat kedai. Biasanya kat kedai makan Thai lah selalu kita order kan. Kali ni kat rumah tu kalau teragak, boleh buat daging masak merah versi paling senang dan ringkas ni.
Tak payah banyak sangat bahan atau sos perasa macam kat kedai Thai tu. Rasanya dah cukup sedap, lagi-lagi makan dengan nasi panas-panas. Syaratnya daging kenalah potong nipis-nipis dan digoreng dulu. Barulah padu dan terangkat.
Buat pedas-pedas lagi sedap. Tak perlu nak lebih-lebih sangat kuah dia. Daging masak merah ni biasanya kuah pekat dan likat. Sedap dan berselera gaulkan dengan nasi. Tapi terpulanglah. Kalau anda nak berkuah lebih, boleh lebihkan airnya.
Resepi ni dikongsikan oleh Rozlyn Farah Diana. Bahan-bahan yang diperlukan sangat ringkas. Kalau ada daging kat dalam peti ais tu, boleh terus masak sebab bahan semua dah ada di dapur.
Kalau anda jenis orang yang sibuk, sesuai masak resepi ni sebab mudah dan cepat untuk sediakannya. Jom lihat resepi ni.
RESEPI DAGING MASAK MERAH PALING SENANG
Resepi simple ni tak ada apa-apa bahan hiasan selain cili besar hiris. Cuma kalau nak penambahan bolehlah campurkan sikit sayuran seperti kobis bunga, lobak merah atau kacang panjang ikut selera anda.
Bahan-bahannya:
- Daging
- Pewarna merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang holland
- 1-2 sudu cili kisar (ikut kepedasan)
- Sos tiram
- Sos cili
- Sos tomato
- Garam dan gula secukupnya
- Cili besar merah/hijau (hiasan)
Cara masak daging masak merah paling simple:
▶️ Mula-mula rebuskan daging sehingga empuk.
▶️ Masa rebus tu letakkan pewarna merah sedikit.
▶️ Lepas dah empuk, toskannya. Kemudian hiris daging nipis-nipis.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan goreng daging sekejap. Sekejap je dah memadai.
▶️ Angkat daging dan toskan.
▶️ Panaskan minyak yang sama, tumis bawang putih dan bawang holland yang dihiris halus atau dikisar.
▶️ Selepas dah naik bau, masukkan cili kisar dalam 2 sudu besar. Kalau nak pedas boleh lebihkan.
▶️ Tumis sampai cili masak dan pecah minyak.
▶️ Kemudian masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Kacau sebati. Kuantiti boleh agak-agak mengikut kuah anda atau tekak masing-masing.
▶️ Lepas tu masukkan daging yang telah direbus dan digoreng tadi.
▶️ Masukkan sikit air (kalau nak kuah lebih, boleh masukkan lebih sikit). Kacau sekata.
▶️ Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
▶️ Masukkan cili besar yang dihiris sebagai hiasan.
BACA JUGA: Resepi Gulai Daging Kawah Terengganu. Lagi Lama Reneh Lagi Padu Rasanya.
▶️ Renehkan sekejap.
▶️ Lepas dah masak sekata boleh padamkan api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Mudah je kan nak masak daging masak merah ni. Rugi kalau tak cuba. Rasa daging tu sendiri pun dah sedap dengan liat-liatnya tu. Gaul pula dengan bahan masak merah tu.
Ada sesetengah orang tak rebus dulu daging. Hanya perap sekejap dengan pewarna merah dengan sedikit cuka. Lepas tu terus ditumis 2-3 kali sampai empuk, dan masak terus dengan kuahnya.
Sebab bertujuan nak kan air hampas daging tu sekali. Kalau anda nak buat cara macam tu pun boleh. Kalau nak mudah, ikut resepi daging masak merah paling senang ni. Jangan lupa mencubanya.