Kalau tengok masakan gulai Kelantan, lain sikit dari resepi biasa. Rempahnya je dah berbeza. Jarang negeri lain pakai rempah cap bunga ros ni. Resepi gulai ayam Kelantan ni mudah je nak buat. Bahan-bahan tak jauh beza dengan cara masak kari lain.
Cuma rempah kari je lah yang berbeza-beza. Dan ada resepi tak gunakan semua rempah ratus. Kalau anda peminat kari, boleh masak gulai Kelantan ni. Tak semua tempat ada jual rempah cap bunga ros. Tapi kalau jualan online memang selalu ada orang jual.
Resepi gulai dari Azura Ibrahim ni pun boleh juga masak dengan rempah kari biasa sebenarnya. Ikutlah mana mudah bagi anda. Yang penting segala bahan lain lengkap dengan rempah ratus, santan, cili dan sebagainya.
Biasanya kalau masak kari atau gulai ni, ada penambahan bahan seperti ubi kentang baru sedap. Selain tu, nak masukkan lada besar pun boleh untuk menaikkan lagi seri masakan.
Yang penting kepekatan kari dan santan tu berasa. Kalau santan tak berasa, dah jadi macam kari mamak pula kan. Makan dengan nasi atau roti memang sedap.
RESEPI GULAI AYAM KELANTAN
Resepi ni gunakan kedua-dua rempah cap bunga ros iaitu rempah masak dan rempah gulai. Rasanya akan lebih sedap dan padu. Untuk rasa pedasnya pula, masukkan cili kering kisar. Terpulang pada anda nak pedas tahap mana.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam
- 1 bawang putih (dimayang)
- 2 bawang merah (dimayang)
- 5 sekawan (2 bunga lawang, 1 biji pelaga, 1 kulit kayu manis, 1 buah kadak dan 1 bunga cengkih)
- 1 inci halia (dihiris halus)
- 1 inci kunyit (ditumbuk)
- 1 inci lengkuas (ditumbuk)
- 1 sudu kecil ketumbar (ditumbuk)
- 1 sudu rempah masak cap bunga ros
- 2 sudu rempah gulai cap bunga ros
*Kalau tak ada, masukkan 2 sudu rempah kari
- 2 sudu cili kisar
- 1 kotak 200 ml santan
- Air (4 kotak santan kotak tadi)
- 1 inci nisan
- 1 keping asam keping
- Garam secukup rasa
- Ubi kentang (ikut suka nak letak banyak mana) – kalau nak rebus dulu pun boleh
- 2 sudu besar minyak untuk menumis
Cara masak gulai ayam Kelantan:
▶️ Mula-mula cuci bersih ayam dan ketepikan.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Pastikan guna api yang sederhana untuk menumis.
▶️ Masukkan 5 sekawan dan tumis sampai naik bau.
▶️ Masukkan bawang putih dan biarkan sampai garing kekuningan.
▶️ Kemudian masukkan halia dan goreng sampai garing juga.
▶️ Masukkan bawang merah dan biarkan sampai layu dan bawang nampak garing juga.
▶️ Baru masukkan cili kisar dan kacau sampai ada naik aroma cili masak.
▶️ Kemudian masukkan bahan rempah. Bahan rempah ni sebaiknya bancuhkan dengan air dulu.
▶️ Kacau sampai kering.
▶️ Selepas dah kering dan masak rempahnya (tak bersin), anda akan bau sedap.
▶️ Baru masukkan kunyit, lengkuas dan ketumbar yang dah ditumbuk tadi.
▶️ Kacau sehingga sebati.
▶️ Masukkan ayam dan kacau sebati. Jangan kacau berlebihan sangat sebab nanti ayam hancur.
▶️ Lepas tu masukkan ubi kentang.
▶️ Perlahankan api serendah yang boleh, dan tunggu sampai air ayam kering.
▶️ Masa ni boleh tutup kuali dengan penutup untuk bagi ayam dan kentang masak. Kacau sekali sekala.
▶️ Dah kering ayam, masukkan santan dan tunggu pula sampai santan masak.
▶️ Masukkan nisan, garam dan asam keping.
BACA JUGA: Tips Masak Gulai Kuning Ikan Ayo (Tongkol) Sedap Dan Padu, Resepi Tradisi Orang Kelantan.
▶️ Dah siap.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Bau aroma karinya memang buatkan tergoda. Tak sabar nak makan. Hidangkan dengan nasi panas-panas lagilah nikmat.
Nak lagi sedap, hidangkan sekali dengan sambal belacan atau sambal gesek. Bukan main sedap lagi. Mesti makan bertambah punya.
Kalau rajin-rajin petang tu gorenglah cucur bilis. Nanti boleh cicah dengan gulai ayam kelantan ni. Gulai atau kari, kalau makan dengan cucur tepung bilis sebenarnya lebih layan. Nanti cubalah!