Nama masakan kerutuk ni tak asing lagi dah. Yang bukan berasal dari Kelantan pun mesti dah biasa dengar nama gulai kerutuk ni kan. Tapi tak semua pandai memasaknya. Betul tak? Selalunya orang buat gulai kerutuk daging atau ayam. Tapi sekarang ni dah ramai buat resepi gulai kerutuk telur.
Bolehlah sesekali kalau muak makan ayam atau daging beralih pula kepada masakan kerutuk telur. Secara asasnya, gulai kerutuk ni ialah hidangan lauk yang mempunyai pelbagai aroma rempah dan dicampurkan santan.
Cuma yang membezakannya ialah nak masak pekat likat atau berkuah banjir. Itu semua ikut selera masing-masing. Antara bahan utama yang perlu ada dalam gulai ni sudah tentu rempah khas kerutuk Kelantan.
Tapi kadang-kadang susah nak dapat stok rempah ni di tempat lain melainkan belian atas talian. Bila teragak sangat nak makan tapi tak ada stok kerutuk, ada juga yang gantikannya dengan rempah lain seperti rempah kari atau campurkan rempah kari dan kurma.
Dapatlah juga membantu memberikan aroma seakan kerutuk dalam masakan. Sudah tentu rasanya berbeza, tapi masih ada aroma rempah lain lagi yang akan menaikkan lagi rasanya. Apa lagi, jom lihat perkongsian resepi dari Suhasnida Ismail ni.
RESEPI GULAI KERUTUK TELUR REBUS
Gulai kerutuk ni sesuai nak dipadankan dengan segala macam jenis hidangan. Baik nasi berperisa atau nasi putih.
Biasanya sedap dihidangkan dengan nasi minyak kenduri, nasi briyani dan macam-macam lagi. Tapi makan dengan nasi putih pun tak kurang hebat juga rasanya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan A (hiris dan tumis):
- Bawang holland 1 biji
- Serai 1 batang diketuk
Bahan B (rebus dan goreng):
- Telur 10 biji
Bahan C (dikisar):
- Bawang merah 4 biji
- Bawang putih 2 ulas
- Halia sehiris
Bahan D (rempah dan serbuk perasa):
- Lengkuas seiris (diketuk)
- Jintan putih secubit
- Serbuk ketumbar secubit
- Rempah kerutuk Kelantan 3 sudu besar
- Cili kisar (ikut pedas)
- Nisan kerek ½ keping
- Garam 1 sudu besar
- Serbuk perasa ½ susu teh
- Kerisik 1 sudu besar
- Bancuhan air asam jawa (secubit asam jawa campur air)
- Minyak untuk menumis
- Air secawan
- Santan pekat 130 ml
Cara masak gulai kerutuk telur:
▶️ Mula-mula rebuskan telur dulu.
▶️ Lepas rebus, kupik kulit telur dan gorengkannya supaya garing-garing sikit telur rebus tu.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali. Kemudian masukkan bahan A. Tumis bawang dan serai ni sehingga naik bau.
▶️ Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga terbit minyak.
▶️ Lepas tu masukkan cili kisar ikut tahap pedas anda suka, dan tumiskannya dengan api yang kecil.
▶️ Lepas cili dah masak, masukkan rempah kerutuk dan juga air asam jawa. Kacau sebati dan terus tumis sampai pecah minyak dan masak. Pastikan betul-betul masak.
▶️ Kemudian boleh masukkan nisan, gula, garam dan serbuk perasa secukupnya.
▶️ Masukkan santan pekat dan kacau sebati. Terus reneh sampai santan masak sepenuhnya.
▶️ Akhir sekali masukkan telur yang dah siap direbus dan digoreng tadi.
▶️ Bila kuah dah mula pekat, bolehlah masukkan lada sebagai hiasan jika mahu.
BACA JUGA: Resepi Daging Kerutuk Sedap, Original Dari Kelantan. Memang Padu Kuahnya!
▶️ Dah siap, boleh padamkan api.
Bila rasa kuah gulai kerutuk ni, memang terkesima dengan keenakannya. Dengan aroma rempah dan kepekatan, dijamin semua pasti sukakan lauk ni.
Kalau tak hidangkan dengan nasi berperisa pun, boleh juga hidangkan dengan nasi putih panas. Lepas tu padankanlah dengan ulaman atau ikan goreng jika anda suka. Masakan ni boleh jadi salah satu idea masakan anda kalau nak buat hidangan istimewa untuk keluarga.
Cara masaknya tak lah susah sebenarnya. Walaupun bahannya banyak, tapi semuanya mudah je nak disediakan. Rugi kalau anda tak cuba gulai kerutuk telur ni!