Ini antara menu masakan cina yang anda patut cuba. Resepi ikan bawal stim Chinese style ni memang padu rasanya sebab dikukus dengan bahan yang beraroma antaranya bawang putih, batang daun bawang, halia dan macam-macam lagi.
Tengok bahan macam cara masak stim Thai je kan? Tapi sebenarnya berbeza dari segi beberapa penggunaan bahannya. Dalam resepi stim Chinese style tak dimasukkan serai dan sos ikan. Sebaliknya menggunakan sos tiram, minyak bijan dan kicap cair sebagai kuahnya.
Sedap sangat bila dimasak kukus dengan ikan bawal. Ikan tak rasa hanyir atau cepat muak bila dimakan. Cara masak ikan bawal stim Chinese style ni mudah je. Kalau anda nak cuba boleh ikut perkongsian resepi dari Raja Azreen ni.
Kuahnya sangat sedap digaulkan dengan nasi. Cukup rasa manis, masin dan pedas. Lebih-lebih lagi air manis ikan keluar dan sebati dengan kuah sosnya semasa dikukus.
Kalau ibu-ibu yang sibuk dan nak buat makanan simple tapi sedap di rumah, bolehlah buat ikan bawal stim ni untuk hidangan sekeluarga.
RESEPI IKAN BAWAL STIM CHINESE STYLE
Selain ikan bawal, boleh juga kalau nak masak dengan ikan lain seperti ikan siakap, ikan kerapu, dan macam-macam lagi. Rasanya mungkin sedikit berbeza mengikut jenis ikan, tapi rasa kuahnya masih sama dan sedap dinikmati.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ikan bawal disiang dan dibasuh bersih
- Halia (dimayang – potong panjang macam batang mancis)
- Batang daun bawang (dimayang)
- Daun bawang (dihiris)
- Bawang putih dicincang (kuantiti ikut suka. Lagi banyak lagi sedap)
- Cili padi (ikut kepedasan)
Bahan sos:
- 1 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar kicap cair
- 1 sudu besar minyak bijan
- ½ sudu gula
Cara masak ikan bawal stim Chinese style:
▶️ Mula-mula, dalam kuali gorengkan bawang putih dahulu sehingga warna keperangan dan tutup api. Kemudian masukkan batang daun bawang yang dimayang ke dalamnya.
▶️ Dalam loyang kukus, masukkan ikan dan halia. Dan curahkan segala bahan sos dan juga bawang putih yang digoreng tadi. Kukus selama 5 minit.
▶️ Dah siap, taburkan daun bawang yang dihiris dan cili padi.
▶️ Sedia dihidangkan dengan nasi putih panas.
BACA JUGA: Resepi Ikan Merah Kengsom Original Thai Sedap Dan Padu. Resepi Dari Thailand Yang Wajib Cuba!
Kuah sos campuran dengan minyak bijan ni memang sedap dihirup, lagi-lagi dikukus dengan ikan dan bawang putih. Kalau hidangkan ikan bawal stim Chinese style ni, tak perlu makan dengan lauk lain dah. Sekiranya nak pedas, gigitkan sekali cili padi. Nikmat sangat rasanya.
Kalau nak diikutkan, makanan stim halia ni menyihatkan dan mempunyai kandungan kalori yang rendah. Jadi, resepi ikan bawal stim Chinese style ni amat sesuai untuk anda yang sedang berdiet. Jangan lupa mencubanya!