Segalanya Tentang Makan..

Resepi Ikan Mabung Masak Singgang. Resepi Simple Tapi Kuah Rasa Padu. Senang Je Semua Orang Boleh Buat!

0 2,473

Masak singgang ni, walaupun lauk paling simple sekali, tapi ramai yang suka. Kalau nampak terhidang memang tak boleh nak menolak kan. Kalau kat rumah ada ikan mabung, apa kata jom buat resepi ikan mabung masak singgang.

Masak kuahnya lebih sikit, nanti bolehlah buat hirup masa makan dengan nasi. Memang layan. Masak singgang ni memang paling senang dan sekejap je masak. Sebab tak menggunakan santan. 20-30 minit je kita kat dapur, dah siap masak boleh terus makan.

Letak sayur bendi sekali dalam tu, lengkaplah hidangan tengah hari anda. Tak payah masak lauk extra lain. Hidangkan dengan nasi panas, memang berseleralah suami dan anak-anak.

Orang kata lauk singgang ni boleh jadi lauk jimat. Bahan semua paling simple yang memang dah biasa ada kat dapur. Masak je dengan ikan apa yang sesuai dan campurkan sekali sayuran bendi.

Resepi ikan mabung masak singgang kali ni saya nak kongsikan dari resepi Nina Natasha Azizan. Mudah sangat cara masaknya dan nampak berselera. Jom kita lihat resepinya.

 

IKAN MABUNG MASAK SINGGANG

Untuk ikan ni, sebenarnya terpulang ikan mana yang anda suka. Ada yang masak dengan ikan tenggiri, mabung, dan biasa kita lihat orang suka masak dengan ikan kembung. Ada juga yang memasaknya dengan ikan tongkol. Ikut citarasa anda.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Ikan mabung 3 ekor (siap disiang dan dibersihkan)
  • Bawang merah 1 labu
  • Bawang putih 3 ulas
  • Cili merah 1-2 biji
  • Asam keping 2 keping
  • Serbuk kunyit ½ sudu kecil
  • Serbuk jintan manis ½ sudu kecil
  • Bendi 8 biji
  • Air 3 cawan
  • Gula dan garam secukup rasa

Cara memasaknya:

▶️ Mula-mula lumurkan serbuk kunyit dan garam pada ikan. Kemudian goreng dan ketepikan. Goreng jangan terlalu garing.

▶️ Hiris halus bawang merah dan bawang putih.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang yang dah dihiris ni sehingga naik bau dan warna keperangan.

▶️ Kemudian bancuh ½ sudu kecil serbuk kunyit dengan air dan tuangkan ke dalam kuali.

▶️ Tumbuk kasar cili merah, dan campurkan air sedikit dengannya. Masukkan ke dalam kuali dan kacau sebati. Yang ni ikut tahap kepedasan yang anda suka. Kalau nak lagi pedas, boleh tambah lagi cili merah atau cili padi.

▶️ Seterusnya masukkan lagi 2 cawan air. Taburkan juga serbuk jintan manis. Terus kacau sehingga masak dan mendidih.

▶️ Kemudian masukkan asam keping.

▶️ Masukkan pula ikan yang dah siap digoreng tadi dan perasakan dengan garam dan gula hingga cukup masam, manis, masin dan pedasnya.

▶️ Akhir sekali masukkan bendi. Biarkan sehingga bendi lembut.

▶️ Setelah masak boleh tutup api. Dan sedia untuk dihidangkan!

 

BACA JUGA: Cara Masak Nasi Carrot Dengan Lauk Ayam Masak Merah Kenduri! Sedap Sangat Confirm Makan Bertambah-Tambah!

 

Nyummyy, sedap sangat bila dihidangkan makan tengah hari dengan nasi panas. Kuahnya padu, dan terasa juga manis-manis ikan. Pedasnya pula cukup terasa. Boleh makan sampai bertambah.

Ada sesetengah orang tu suka campurkan juga tomato. Sedap bila digigit dan dihirup bersama kuahnya. Dan bagi yang tengah berdiet pun, sesuai buat lauk masak singgang ni. Boleh dikatakan diet sihat dan mengenyangkan.

Tambahan lagi sedap dan menaikkan selera. Tak adalah muak kalau makan lauk diet yang sama je kan. Jadi, sesiapa nak masak lauk singgang ni, bolehlah ikut resepi ni. Simple sangat dan sedap! Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.