Selalunya hanya jumpa ayam percik kan. Mesti ramai dari anda belum pernah cuba lagi resepi ikan percik pula. Ikan ni rasa isinya memang lain dari ayam. Bayangkan isinya yang lembut-lembut, lepas tu dibakar pula dan disalutkan dengan kuah percik. Serius boleh terliur melihatnya.
Resepi dari Cikgu Afy Al Habibi ni memang tak pernah mengecewakan. Tiap kali berkongsi resepi, semua padu rasanya. Ikan percik ni antara resepi tradisi ibu beliau yang sangat sedap dan rugi kalau tak cuba. Keistimewaannya dah tentu pada kuah percik tu.
Katanya jangan dipandang sepi resepi kuah percik dan ikannya sekali. Gabungan rasa kedua-duanya memang padu yang buatkan anda makan nasi sampai bertambah.
Kiranya kalau nak masak tu, pastikan kuah percik ni salut habis pada ikan dan meresap sepenuhnya ke dalam isi. Caranya ialah bakar sekali kuah tu bersama ikan. Dan pastikan kuah melekat lebih tebal.
Nampak macam rumitkan? Tapi sebenarnya mudah je. Anda akan rasa berbaloi walau kena berpanas depan api. Nak hasil yang padu, kenalah ikut stepnya sebiji-sebiji. Betul tak?
RESEPI IKAN PERCIK TERLAJAK SEDAP
Kuah percik ni dimasak lebih likat. Bila pekat, rasanya akan lebih sedap bila bersalut dengan ikan. Dalam resepi ni gunakan ikan kembung cukup sedap. Isinya manis dan tebal, sesuai dibuat ikan bakar.
Bahan-bahan ikan:
- 5 ekor ikan kembung (basuh bersih dan kelar ikan)
- 2 batang serai
- 5 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 ½ inci kunyit hidup
Cara perap ikan:
▶️ Semua bahan ni (kecuali ikan) dihiris nipis.
▶️ Kemudian masukkan dalam pengisar bersama ¾ sudu besar garam dan 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal.
▶️ Kisarkan sehingga lumat.
▶️ Lumurkan bahan kisar ni pada ikan sekata.
▶️ Dan perap selama 20 minit.
Bahan-bahan kuah percik:
Bahan kisar:
- 5 biji bawang merah saiz syiling 20 sen
- 2 ulas bawang putih
- ½ hiris nipis halia
- Secubit belacan
- ½ sudu besar serbuk ketumbar (disangai dan dikisar halus)
Bahan lain:
- 6 senduk santan segera (boleh beli di pasar. Pekat asli daripada buah kelapa)
- 1 senduk air kosong
- 1 ½ sudu besar cili kisar
- 1 hiris limau nipis
- 2 ½ sudu besar gula
- ½ sudu besar garam
- Secubit perencah Hilal
Cara buat kuah percik:
▶️ Kisar kesemua bahan kisar sehingga lumat. Lepas tu masukkan ke dalam periuk.
▶️ Masukkan sekali santan segera dan juga 1 senduk air kosong.
▶️ Kemudian masukkan cili kisar dan kacaunya sebati.
▶️ Tenggekkan periuk atas api dengan api yang perlahan. Perahkan sehiris limau nipis.
▶️ Masukkan garam, gula dan perencah hilal. Kuantitinya terpulang pada citarasa anda. Nak selamat masukkan sikit demi sedikit kemudian rasa.
▶️ Lepas tu kacau kuah dengan api sederhana besar.
▶️ Bila kuah dah mendidih, boleh padamkan api.
▶️ Dah siap kuah percik super lazat ni.
Cara buat ikan percik:
▶️ Mula-mula bakar ikan yang dah diperap tadi atas bara api.
▶️ Bakar tak perlu sampai ikan garing atau kering. Biar lembab-lembab sikit supaya lebih juicy.
▶️ Lepas tu angkat sekejap pemanggang ikan tadi. Kemudian lapikkan pinggan di bawahnya.
▶️ Sendukkan kuah percik dan lalukan pada badan ikan depan belakang.
▶️ Letak semula pemanggang ikan atas bara api untuk seketika.
▶️ Balik-balikkan ikan tu atas bawah.
▶️Proses salut kuah dan bakar ni ulang 2 kali untuk hasil kuah yang lebih tebal melekat pada ikan.
BACA JUGA: Resepi Ayam Percik Kuah Putih Kelantan Sesedap Pasar Malam. Mudah Dan Ringkas Je Bahannya.
Nanti rasa kuah tu akan lebih sedap selepas dibakar pada bara api. Bakar pula dengan ikan. Baunya akan sedap menusuk!
Makan dengan nasi atau ratah macam tu je cukup menyelerakan. Hidangkan dengan pelengkap menu lain sepeti ulam dan sebagainya. Memang padu.
Serius rugi kalau anda tak cuba resepi ikan percik ni. Memang terlajak sedap dari resepi biasa. Cuba dulu hujung minggu ni dan rasai sendiri nikmatnya. Selamat mencuba!