Menu masakan berlado ni memang masakan kampung yang paling mudah dan sedap. Kena dengan selera semua orang. Jarang jumpa orang yang tak suka masakan sambal ni. Selalunya yang paling terkenal sambal dimasak dengan cili kering tu. Jom kali ni buat resepi ikan tenggiri masak berlado menggunakan cili merah dan cili padi pula.
Walaupun sama je pedasnya, tapi ada kelainan sikit pada rasanya. Iyalah, cili kering dan cili merah ni ada bezanya. Biasanya sambal cili kering boleh dimasak basah atau kering. Tapi bila buat masakan berlado menggunakan cili merah dan cili padi ni, sambalnya banyak seladak dan tidak berkuah.
Kedua-dua juga sedap dan padu. Rasa pedasnya pula bergantung kepada berapa banyak cili dimasukkan. Lagi pedas, lagi padu rasanya.
Tapi kalau pedas sangat pun boleh perit pula lidah ni kan. Nak seimbangkan rasa, boleh masukkan sikit gula jika anda suka.
Untuk resepi yang dikongsikan oleh Nurul Ateekah ni, sambalnya lebih wangi sebab ada masukkan serai dan daun limau purut. Boleh memberikan aroma yang sedap bila digaulkan dengan nasi.
RESEPI IKAN TENGGIRI BERLADO
Kalau masak berlado ni, bukan hanya sedap dengan ikan tenggiri je, tapi kalau masak dengan ikan lain seperti ikan kembung, ikan bawal mahupun ayam pun sedap juga. Resepinya sebiji, cuma tukarkan jenis ikan je.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 7-8 keping ikan yang dah siap dipotong
- 11 batang cili merah (boleh tambah cili padi)
- 3 ulas bawang putih
- ½ biji bawang besar
- 1 buah tomato dibelah 4
- 1 batang serai dikatok
- 2 helai daun limau purut
- 1 sudu kecil serbuk belacan
- 1 sudu kecil serbuk perasa
- Garam dan gula (boleh agak-agak)
Cara masak ikan tenggiri berlado:
▶️ Mula-mula kisar atau tumbuk cili merah, cili padi, bawang putih dan bawang besar. Ketepikan.
▶️ Lumurkan serbuk kunyit sedikit dan juga garam pada ikan.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan sehingga masak dan sedikit garing.
▶️ Lepas tu gunakan minyak yang sama untuk menumis.
▶️ Keluarkan sikit kalau minyak terlalu banyak, kemudian masukkan bahan yang dikisar, serai dan daun limau purut.
▶️ Tumiskan bahan-bahan ni sehingga masak dan pecah minyak.
▶️ Kemudian masukkan tomato, serbuk belacan dan gaul sebati.
▶️ Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa.
▶️ Lepas dah masak cili ni, masukkan ikan yang dah digoreng tadi. Gaul sehingga sekata.
▶️ Dah siap, padamkan api.
▶️ Taburkan daun ketumbar atas ikan semasa nak dihidangkan.
Hidangkan dengan nasi panas-panas memang sedap. Tak perlu lauk mewah atau pelbagai masakan lain atas meja dah cukup menyelerakan.
BACA JUGA: Sambal Ikan Masin Sedap Melikat. Simple Je Tapi Sedap Ya Amat. Wajib Cuba!
Nak masaknya pun mudah je. Antara menu sambal pedas yang ringkas tapi sedap penuh dengan aroma. Kadang-kadang muak juga kan kalau masak jenis sambal ikan yang sama.
Kalau masukkan cili merah je dah cukup sebenarnya. Cuma kalau nak tambah pedas lagi, boleh masukkan cili padi. Jangan lupa cuba resepi ikan tenggiri berlado ni untuk hidangan sekeluarga!