Siapa je yang tak suka makan kari ikan sedap ala india ni. Rasa dan aromanya yang pekat, memang enak makan dengan nasi putih, nasi berperisa mahupun roti putih kosong. Dah nama pun kari india. Rupa, warna dan kepekatannya memang kelihatan berbeza dengan kari melayu biasa.
Nak buat kari ala india ni asasnya kena tahu yang karinya kaya dengan rempah. Serbuk kari pun main peranan penting juga. Kebiasaannya kari india ni sinonim dengan serbuk kari babas. Tapi ada satu lagi serbuk kari yang sedap anda boleh gunakan iaitu serbuk kari cap O.
Kalau susah nak jumpa serbuk ni di pasaraya, di kedai runcit biasa kadang-kadang ada. Malah jualan online seperti Lazada dan shopee pun ada dijual. Bolehlah beli dan cuba serbuk kari ni juga selain gunakan serbuk kari babas. Mana tau lagi sedap dengan selera anda.
Dalam kari india ni memang semua orang tau tak memerlukan santan. Tapi resepi ni unik sikit sebab ada juga masukkan santan. Cuma masukkan 1 sudu je.
Mungkin nak rasa sikit berlemak atau pekatkan kuah. Jom kita cuba resepi kari ikan marvelous perkongsian dari Hasidah Che Mat ni.
RESEPI KARI IKAN JENAHAK ALA INDIA
Nak masak dengan ikan lain pun boleh juga. Contohnya ikan merah, ikan kembung, ikan tenggiri, ikan bawal, tongkol dan sebagainya. Ikut suka anda.
Bahan-bahannya:
- 1 biji bawang besar (hiris nipis)
- 1 labu bawang putih (hiris nipis)
- 2 inci halia (tumbuk lumat)
- 2 batang cili hijau (dikerat 2)
- 1 sudu besar biji sawi atau halba campur (biji sawi+halba+jintan manis) kengkawan letak lagi sedap
- 5-6 tangkai daun kari
- 3 biji tomato (potong 4)
- Bendi ikut suka nak berapa (nak letak terung bulat pun boleh)
- Ikan jenahak/tenggiri/ikan merah/kembung pun boleh
- 2 paket kecil serbuk kari (Baba’s atau Cap O)
- 2-3 sudu besar serbuk cili (atau kalau rajin boleh kisar cili kering campur sikit belacan)
- ½ cawan air asam jawa
- 1 sudu kecil santan sahaja
- Air kosong
Cara masak kari ikan jenahak ala india:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Masukkan bawang merah dan bawang putih dihiris nipis dan tumis dulu sampai naik bau.
▶️ Lepas tu masukkan biji sawi dan tumis lagi seminit.
▶️ Kemudian masukkan cili hijau dan tumis seminit.
▶️ Masukkan halia dan tumis juga seminit.
▶️ Lepas tu masukkan daun kari dan tumis seminit.
▶️ Masukkan tomato dan tumis seminit juga.
▶️ Kemudian masukkan terung dan tumis sampai masak. Kalau tak suka terung tak nak masukkan pun tak apa.
▶️ Kemudian masukkan serbuk kari serta serbuk cili (atau cili kisar). Tumis sampai pecah minyak.
▶️ Masukkan air sedikit dan biarkan sampai menggelegak. Jangan masukkan air banyak. Sebab kari ni sedap masak pekat.
▶️ Lepas tu masukkan air asam jawa. Biarkan menggelegak lagi.
▶️ Kemudian masukkan 1 sudu kecil santan dan kacau sebati. Biarkan mereneh sekejap.
▶️ Seterusnya masukkan ikan dan bendi. Kacau-kacau seminit dan kecilkan api.
▶️ Lepas tu tutup kuali dengan penutup dalam 3-4 minit supaya kuah lebih mereneh.
▶️ Perasakan dengan garam, gula dan maggi cukup rasa. Kacau sebati.
BACA JUGA: Resepi Kari Kambing Sedap Padu. Original Dengan Serbuk Kari Homemade! Lain Dari Yang Lain.
▶️ Dah siap boleh padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.
Bagi yang pernah makan kari ala india mesti lepas tu teringat-teringat rasanya. Kat kedai mamak rasanya kari mereka pun tak sebiji macam ni.
Rasa kepekatan kuah, bau rempah dan aromanya memang boleh membangkitkan selera. Hidangkan dengan nasi panas cukup menyelerakan.
Kalau ada ikan dalam freezer tu, apa lagi jomlah cuba resepi kari ikan sedap ala india yang super marvelous ni. Pasti anda makan sampai bertambah. Selamat mencuba.