Kalau sebut je sardin, terus terfikir sardin sambal atau masak berlada. Jarang dengar masak gulai kari. Paling tidak pun orang buat sardin masak cili api. Apa kata kali ni cuba resepi kari sardin campur kentang pula yang pasti buatkan anda makan nasi bertambah-tambah.
Tengok kuahnya yang pekat confirm terliur. Mulalah bila makan tengah hari tu, nampak kuahnya lebih je dah plan siap-siap nak buat cicah dengan roti pula untuk minum petang. Silap-silap rajin pula nak goreng roti canai segera untuk buat cicah roti canai pula.
Percayalah, pasti suami anda puji tanpa henti masakan kari sardin ni. Sebab ikannya tu sendiri dah cukup sedap. Tak perlu masukkan sos sardin tu pun dah cukup memadai dan menyelerakan bila dimasak kari pekat.
Resepi sardin kari ni dikongsikan oleh Nurul Ateekah. Sebenarnya terpulang pada anda nak masak kuah pekat atau cair.
Tapi bila dimasak pekat ni lagi sedap bila digaulkan dengan nasi mahupun buat cicah roti. Terasa aroma sardin dan karinya tu. Jom lihat cara memasaknya.
RESEPI KARI SARDIN CAMPUR KENTANG
Nak lagi cantik hidangan, sebelum tutup api tu boleh masukkan cili besar dan juga tomato sebagai hiasan atau penambah rasa hidangan. Sedap juga ada rasa masam-masam dari tomato tu.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Sardin 1 ½ tin (ambil ikan sardinnya sahaja)
- Bawang besar 1 biji dihiris
- Bawang putih 3 ulas dihiris
- 2 tangkai daun kari
- 200 ml santan segar
- 100 ml air putih
- Kentang 1 biji
- 3 sudu besar serbuk kari (dibuat paste)
- Garam secukup rasa
- Serbuk perasa jika mahu
- Cili hijau 2 batang
- Cili merah 1 batang
- Tomato dibelah
- Minyak masak untuk tumisan
Cara masak kari sardin campur kentang:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali. Kemudian masukkan bawang besar dan bawang putih.
▶️ Masukkan juga daun kari dan tumis sehingga bawang bertukar keperangan dan naik bau.
▶️ Lepas tu masukkan paste kari yang dibancuh sikit dengan air, dan kacau dengan api yang perlahan.
▶️ Tumiskan sehingga pecah minyak dan rempah kari masak sempurna.
▶️ Kemudian masukkan kentang dan biarkan sehingga kentang lembut.
▶️ Masukkan pula santan dan kacau sebati. Masakkan santan sebentar.
▶️ Seterusnya masukkan ikan sardin. Dan masukkan juga cili besar dan tomato.
▶️ Kacau sekata dan biarkan sardin dan cili masak sebentar.
▶️ Akhir sekali perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
▶️ Dah cukup masak dan mendidih, boleh padamkan api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Nasi Goreng Sardin Sedap Dan Mudah. Letak Banyak Isi Sardin Lagi Padu!
Hmm.. Sedapnya bau aroma kari semerbak bila siap dimasak. Kari sardin ni yang buatkan sedap tu ialah kuahnya yang pekat dan padu.
Selalunya kalau masak lemak cili api dah cukup sedap. Tapi bila masak kari, rasanya sedap berganda. Mungkin disebabkan oleh aroma kari tu sendiri.
Resepi kari sardin kentang ni sebenarnya antara menu sardin yang simple. Boleh bajet-bajet sendiri je bahannya bila dah selalu masak. Lepas ni bolehlah mencubanya.