Rendang ni ada bermacam-macam resepi yang ada kan. Ada rendang nogorilah, rendang perak lah. Lain tempat, lain cara masak dan air tangannya. Resepi rendang ayam dari Zaky Mat Ali ni antara yang mudah dan sedap anda boleh buat.
Sebenarnya apa-apa jenis rendang pun mesti nak ada seladak yang sedap, cukup lemak santan dan ada aroma wangi baru orang suka. Makan dengan nasi ke, pulut kuning, lemang, atau apa sahaja pun sedap.
Lagi banyak seladak lagi menarik sebab lebih nikmat bila digaulkan dengan nasi. Ada sesetengah orang suka seladak yang lembab-lembab, ada yang suka kering. Itu terpulang pada selera masing-masing. Kalau nak kering, renehkan lama atas api.
Resepi ni mudah je dan rasanya sedap dengan aroma rendang asli orang dulu-dulu. Dah lama tak balik kampung ni bolehlah buat rendang macam selalu orang tua-tua kita masak kan.
Bahannya ringkas je. Bagi yang tak pernah masak atau baru nak belajar masak boleh cuba resepi ni. Pasti menjadi. Jom lihat cara membuatnya.
RESEPI RENDANG AYAM
Rendang yang sedap ni biasanya ada masukkan daun limau purut dan juga daun kunyit untuk naikkan lagi aroma dalam masakan. Racikkan daun ni halus-halus dan masukkan dalam kuah yang dah pekat sebelum padamkan api. Baru bertambah sedap.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 1 ekor ayam
- 2 cawan santan
- 2 sudu kerisik
- 2 asam keping
- 1 helai daun kunyit (diracik halus)
- 3 helai daun limau purut (dihiris kasar)
- Minyak untuk menumis
- Garam
- Gula
Bahan kisar:
- 20 biji cili kering
- 9 ulas bawang putih
- 4 biji bawang merah
- 2 biji bawang besar
- 3 inci kunyit hidup
- 4 batang serai
- 3 inci halia
- 3 inci lengkuas
Cara masak rendang ayam:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Tumis bahan kisar hingga naik bau dan terbit minyak.
▶️ Kemudian masukkan santan dan juga ayam. Gaul sekata.
▶️ Lepas tu masukkan kerisik dan kacau sebati.
▶️ Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
▶️ Biarkan kuah reneh sehingga pekat. Ikutlah kepekatan kuah atau seladak yang anda suka.
▶️ Lepas tu masukkan daun kunyit dan daun limau purut yang telah dihiris. Gaul sebati.
▶️ Dah siap boleh padamkan api.
BACA JUGA: Resepi Ayam Ungkep. Masakan Jawa Sedap Dan Mudah. First Time Buat Pun Confirm Jadi.
Rendang sedap macam ni tak tunggu raya pun confirm laku keras. Dulu-dulu je orang merendang waktu hari raya. Sekarang ni kalau masak rendang sekejap je dah siap sebab adanya kerisik. Kalau teragak boleh terus masak.
Aromanya tu sedap. Bila cukup lemak dan wangi, nak buat pedas-pedas pun boleh. Barulah terangkat. Makan pun tak cepat muak.
Lepas ni kalau rindu rendang kampung, bolelah cuba resepi rendang ayam yang mudah dan sedap ni. Makan dengan nasi panas-panas mesti bertambah. Jangan lupa mencubanya.