Bila dah muak makan daging, ayam, udang, atau sotong, mak-mak bolehlah masak lauk mudah main lebur-lebur je iaitu, resepi sardin lemak pedas berapi. Sardin ni sebenarnya bukan hanya sedap buat sambal je, malah masak gulai lemak bersantan pun boleh buat sampai makan bertambah-tambah.
Masakan lemak santan sardin dari resepi Amy Anuar ni ada proses tumis. Lagi bertambah naik rasa pedas bila cili ditumis sampai garing dan naik bau. Barulah betul-betul padu. Makan dengan nasi putih atau roti kosong memang sedap.
Kalau nak lebih sedap dan naik lagi aromanya boleh masukkan sikit daun kunyit dalam kuah. Makanan simple macam gulai sardin ni pun boleh nampak mewah dan menyelerakan.
Selalunya masak gulai lemak santan mesti nak ada bahan tambahan kan. Contohnya ubi kentang, pucuk ubi dan sebagainya. Dalam resepi ni dimasukkan daun kunyit. Tak kisah nak campur apa pun sebenarnya. Janji kena dengan selera anda.
Untuk kuah terpulang pada anda nak masukkan berapa banyak santan untuk kepekatannya. Biasanya kalau masak pekat sikit lagi sedap. Namun terpulang pada selera masing-masing.
RESEPI SARDIN LEMAK PEDAS
Ada sesetengah resepi tak suka maksukkan sos tomato dalam tin sardin atau hanya masukkan sikit je. Untuk resepi ni masukkan kesemuanya. Barulah lebih berasa.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan A:
- 6 ulas bawang merah
- 6-10 biji cili padi (boleh tambah lagi kalau nak extra pedas)
- Kunyit hidup secukupnya
Bahan B:
- 1 cawan santan
- 1 keping asam gelugur (asam keping)
- 1 batang serai (diketuk)
- 1 tin ikan sardin
- 1 biji cili merah (dihiris)
- 1 biji bawang besar (dihiris)
- 1 sudu kecil garam
- 1 helai daun kunyit (dihiris halus)
Cara masak sardin lemak pedas:
▶️ Mula-mula kisar atau tumbuk bahan A.
▶️ Kisar sampai betul-betul halus.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan A. Tumis sampai garing dan naik bau.
▶️ Kemudian masukkan santan, daun kunyit, asam keping dan serai. Kacau sekata.
▶️ Masukkan ikan sardin bersama kuah sos tomatonya sekali. Kacau sebati dan biarkan kuah mendidih.
▶️ Dan akhir sekali masukkan cili merah, bawang besar dan garam. Kacau rata sekejap.
▶️ Dah masak boleh padamkan api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Nasi Goreng Sardin Sedap Dan Mudah. Letak Banyak Isi Sardin Lagi Padu!
Kalau anda betul-betul nak rasa nikmatnya, makan dengan nasi putih panas. Lepas tu tuangkan sikit kicap pada nasi untuk digaulkan dengan sardin. Anak-anak mesti laju je makan.
Ikutlah cara anda nak hidangkan macam mana. Mungkin lepas ni kalau nak makan dengan sambal belacan pun boleh juga.
Jangan lupa cuba resepi sardin lemak pedas berapi ni. Kalau tak sempat nak masak untuk makan malam, capai je 1 tin sardin kat rumah tu dan buat masak lemak. Selamat mencuba!