Kalau makan nasi kerabu, tak sah kalau tak ada solok lada ni kan. Inilah antara lauk nasi kerabu yang membangkit selera yang amat popular di Kelantan dan Terengganu. Lagi-lagi kalau isinya penuh dan mantap. Kalau sedap isinya, mamang boleh makan sampai licin.
Solok lada ni dipanggil juga sebagai cili sumbat. Apa isi di dalamnya ialah kelapa parut, isi ikan, santan dan pelbagai lagi ramuan lain yang beri rasa manis, masin dan lemak. Memang sedap dan wangi bila dijamah dengan nasi kerabu.
Nak buat solok lada Kelantan ni sebenarnya mudah je. Bahan-bahannya ringkas. Cuma kena gigih sikit untuk asingkan isi ikan dari tulang dan perlukan proses menumbuk bahan-bahan. Tapi berbaloi dengan rasanya yang sedap dan berlemak.
Lepas je kukus memang tak sabar nak makan waktu panas-panas tu. Solok lada ni memang lagi sedap kalau buat isinya mampat. Baru puas hati makan dengan nasi.
Kalau anda nak cuba buat solok lada ni, jom ikut perkongsian resepi dari Nana Ismail ni. Kalau tak makan dengan nasi kerabu, boleh je makan dengan nasi berlauk. Sedap juga untuk dinikmati.
RESEPI SOLOK LADA KELANTAN
Resepi ni gunakan 10 ekor ikan dan 2 genggam kelapa parut. Bolehlah dapat lebih 10 biji solok lada saiz sederhana. Ikan tu tak kira nak gunakan ikan apa, tapi sebaiknya yang ada banyak isi.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ikan 10 ekor (ikan jenis banyak isi)
- Cili besar hijau (belah tengah tanpa putus dan buang bijinya)
- 2 sudu kecil lada sulah
- 2 ½ susu kecil garam
- 1 sudu kecil perasa
- 3 biji bawang merah saiz sederhana
- Halia sebesar ibu jari
- 1 cawan santan
- 2 genggam kelapa parut
Cara buat solok lada Kelantan:
▶️ Mula-mula asingkan isi ikan dari tulangnya. Boleh asingkan guna pisau je. Dan pastikan semua tulang dikeluarkan dari isi ikan.
▶️ Kemudian kisar halus isi ikan ni. Ketepikan.
▶️ Tumbuk bawang merah dan juga halia sehingga lumat.
▶️ Dalam 1 besen/bekas, campurkan isi ikan, bahan yang ditumbuk, kelapa parut, lada sulah, garam dan perasa. Lepas tu gaulkan sebati.
▶️ Sumbatkan ramuan ni ke dalam cili besar yang dibelah tadi. Pastikan sumbat isi dengan padat.
▶️ Kemudian susunkan dalam loyang atau bekas sesuai untuk kukus dan kukus selama 5 minit.
▶️ Selepas 5 minit, buka penutup kukus dan tuangkan santan ke atasnya. Dan sambung lagi kukus dalam 5 minit lagi.
BACA JUGA: Resepi Nasi Kerabu Tiada Sebarang Pewarna. Tapi Aroma Rasa Masih Sedap Dan Wangi.
▶️ Lepas tu dah siap. Boleh keluarkan dan hidangkan.
Makan isinya sambil gigit cili tu sebenarnya sangat sedap. Barulah rasa lemak-lemak dan pedas. Solok lada ni kalau makan dengan nasi berlauk gulai sedap juga tau.
Tapi tak dinafikan makan dengan nasi kerabu yang paling mantap sekali. Kalau di pantai timur tu, dah dijadikan salah satu hidangan lauk makan tengah hari di sana.
Banyak dilihat di kedai-kedai makan atau restoran kat Pantai Timur yang hidangkan solok lada Kelantan ni. Kalau anda nak buat sendiri, cubalah resepi ni. Selamat mencuba!