Sedapnya kalau dapat menikmati bakso, buat makan-makan santai di rumah. Tambah pula makan supnya yang panas-panas. Selalunya bakso dijual di pasar malam. Sekarang musim pkp rindu pula nak makan. Apa kata buat sendiri kuah bakso yang super sedap ni.
Bila sebut bakso je memang kita akan bayangkan bau sup daging dan hidangan bebola dagingnya sekali. Bagi peminat daging lembu, bakso ni mesti jadi kegemaran anda sebab bahan asasnya 100% daging. Sebab tu kalau buat kuah bakso perlu ada aroma daging yang menyengat baru sedap.
Resepi kuah bakso dari Radia Tussoleha ni antara resepi yang boleh anda cuba. Nak buat kuah bakso ni sebenarnya bahannya ringkas je, asalkan bahan asas daging seperti daging tetel (gemeh) dan tulangnya cukup dan berasa.
Bila sup dah padu, makan dengan mee kuning atau bihun cukup menyelerakan. Tak dilupakan juga sambal merah dan kicap yang wajib digaulkan sekali dalam kuah, barulah sempurna rasanya.
Kuah sup daging ni kebiasaannya tak dibuat pedas. Cukup sekadar bahan lada hitam atau lada putih yang beri rasa bahang. Sebab tu perlu ada sambal merah sebagai pelengkapnya.
RESEPI KUAH BAKSO
Untuk bebola daging, boleh beli yang dah siap je. Selain sambal merah dan kicap, boleh hidangkan sekali dengan bahan tambahan yang lain seperti taugeh, daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- ½ kilo atau 1 kilo daging tetel (gemeh) dipotong kecil-kecil
- 1 kilo tulang (rebus dengan sedikit garam)
- 1 kilo bebola daging
- 15 biji bawang merah kecil
- 10 ulas bawang putih
- 1 sudu teh lada hitam
- 1 sudu teh lada putih
- Kiub daging atau kiub ayam
- 1 sup bunjut
- 2 inci halia (diketuk)
- 2 inci lengkuas (diketuk)
- 1 biji bawang besar (dihiris)
Cara masak kuah sup bakso:
▶️ Cuci bersih daging tetel dan juga tulang.
▶️ Kemudian rebuskan dalam 3 liter air dengan sedikit garam. Kalau air tak cukup boleh tambah.
▶️ Kisar bawang merah kecil, bawang putih, lada hitam dan lada putih.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian tumis bahan yang telah dikisar sehingga pecah minyak dan naik aromanya (tumis darat).
▶️ Tumis darat ni bermaksud bahan tumis tadi ditumis berasingan. Dan kemudian dimasukkan ke dalam kuah sup daging yang sedang direbus tadi.
▶️ Selepas dah masukkan bahan tumisan dalam sup daging tadi, tutup periuk supaya aroma tumisan meresap ke dalam sup.
▶️ Selepas daging dah betul-betul empuk, masukkan bahan yang diketuk, bawang besar yang dihiris, kiub daging dan juga garam secukup rasa.
▶️ Biarkan kuah mendidih, dan boleh padamkan api.
Bahan sambal cili merah:
- Segenggam cili api
- 4 ulas bawang putih
- 1 biji tomato
Cara buat sambal cili merah:
▶️ Rebuskan kesemua bahan.
▶️ Kemudian tumbuk hancur dan tambahkan sedikit garam.
▶️ Dah siap.
Bahan tambahan lain:
- 1 paket bihun atau mee kuning (celurkan dengan air panas)
- Taugeh (dicelur)
- Daun bawang dan daun sup
- Sebungkus bawang goreng
- Kicap lemak manis
- Cili sos
BACA JUGA: Resepi Sup Tulang Merah Singapore Yang Paling Padu. Cukup Dengan Aroma Rempah Dan Pedas.
Cara hidangannya, masukkan mee dan letakkan bahan-bahan tambahan lain sikit-sikit. Kemudian tuangkan sup panas-panas. Sedap kalau nikmatinya waktu hujan.
Aroma kuah daging memang sedap kalau hirupnya panas-panas. Bak kata orang kalau kerap panaskan kuah lagi sedap dan bertambah naik aromanya.
Lepas ni kalau teragak, boleh buat sendiri kuah bakso ni. Tak perlu cari di kedai atau pasar malam lagi. Cuba dulu, baru tahu rasa nikmatnya. Selamat mencuba.