Segalanya Tentang Makan..

Resepi Bihun Goreng Bujang. Simple Je, Main Campak-Campak. Tapi Buat Versi Sedap Dan Padu.

0 1,337

Biasanya kalau buat bihun goreng simple, ada bawang kisar, cili kisar, ikan bilis dan sos tiram kadang-kadang dah cukup memadai. Yang ni kiranya bahan asasnya. Tapi dah alang-alang buat resepi bihun goreng bujang ni, bolehlah upgrade sikit ke versi yang lebih sedap.

Bahan-bahannya pun kebetulan memang ada di dapur, bolehlah buat yang sedap dan lebih berperisa sikit. Bihun goreng ni biasanya buat makan sarapan pagi. Tapi sekarang kerap juga jadi hidangan sampingan rumah terbuka atau untuk tetamu.

Bila dah ada resepi berbeza ni bolehlah pelbagaikan cara masakan. Nak masaknya pun mudah je. Cuma tambahkan je beberapa bahan lain untuk menaikkan lagi rasa.

Secara asasnya bihun ni kalau ada bahan sampingan seperti sawi atau taugeh dah kira cantiklah hidangannya tu. Namun kalau ada stok ayam, tomato, fishcake dan fishball dalam peti ais tu, terpulang pada anda kalau nak masukkan sekali.

Jom ikuti perkongsian resepi bihun goreng simple dari Chef Chefobie Untold ni. Besok-besok kalau nak buat sarapan, bolehlah cuba resepi ni.

 

RESEPI BIHUN GORENG BUJANG, SIMPLE DAN SEDAP

Kalau nak menambahkan lagi bahan sampingan, bolehlah goreng telur dadar nipis-nipis dan hiris. Lepas tu tabur atas bihun goreng. Sedap juga makan bihun bersama telur dadar.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Bihun 1 keping (direndam supaya lembut)
  • 2 sudu besar cili kering dan bawang kisar (dikisar sekali) – Kalau tak ada, boleh juga gantikan dengan 2 sudu besar sos cili dan 3 sudu besar sos tomato
  • 1 biji bawang besar (dimayang)
  • 1 ulas bawang putih (ketuk atau mayang)
  • Isi ayam (bahagian dada dipotong kecil)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu teh rempah kari
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan gula
  • Kicap manis atau masin (kalau nak gantikan dengan garam dan gula)
  • Sos ikan (optional)
  • Cili api 3 biji (sebagai hiasan)
  • Taugeh secukupnya
  • Telur (untuk dadar)
  • 5 sudu besar minyak masak (untuk menumis)

Cara masak bihun goreng bujang simple:

▶️ Panakan minyak dalam kuali, dan masukkan bawang besar dan bawang putih yang dimayang.

▶️ Masukkan sekali isi ayam dan tumis sehingga naik bau.

▶️ Kemudian masukkan cili dan bawang kisar. Tumis sehingga pecah minyak.

▶️ Masukkan sos tiram, rempah kari dan serbuk kunyit. Kacau sebati.

▶️ Boleh masukkan air sedikit dan tumis lagi.

▶️ Perasakan dengan garam, gula dan perasa lain seperti sos ikan.

▶️ Kalau dah masukkan sos ikan tak perlu garam lagi sebab dah masin. Kalau nak gantikan dengan kicap manis dan masin pun boleh juga. Ikut citarasa anda.

▶️ Dah sebati, boleh masukkan bihun dan gaulkannya sekata.

▶️ Kacau perlahan-lahan supaya bihun tak hancur.

▶️ Selepas tu masukkan taugeh dan cili api. Kacau sebentar, dan boleh tutup api.

▶️ Kalau nak masukkan bahan tambahan lain seperti sawi dan tomato pun boleh juga.

▶️ Dan akhir sekali taburkan telur dadar yang dah dihiris halus dan juga daun bawang/sup.

 

BACA JUGA: Resepi Bihun Kungfu Sedap Dan Power! Mudah Je Masaknya Tapi Cukup Special.

 

▶️ Sedia untuk dihidangkan.

Bihun ni walaupun simple tapi sedap dan mengenyangkan juga. Bolehlah makan untuk gantikan nasi. Kadang-kadang kalau malas nak masak lauk, buat je bihun menggantikan nasi berlauk. Asalkan mengenyangkan.

Buat ibu-ibu kalau pening nak buat hidangan apa untuk anak-anak yang liat nak makan nasi, boleh juga buat bihun ni.

Nama je resepi bihun goreng bujang, tapi rasanya sedap dan menyelerakan juga. Bolehlah nanti mencubanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.