Kalau biasa makan mee rebus, macam-macam cara hidangan kita nampak tiap kali makan kat kedai. Sebab lain air tangan, lain cara masaknya. Dalam banyak-banyak mee rebus, rasanya resepi mee rebus Terengganu ni nampak paling simple sekali.
Ada bezanya dengan mee rebus lain dari segi warna dan kepekatan kuah. Siapa yang tak suka makan mee yang berkuah ni kan? Lagi-lagi rencah dan bahan dia sedap dan kena dengan selera. Perkongsian mee rebus Terengganu kali ni ialah dari Naeamah Balqis.
Biasa kalau buat mee rebus, bau tumisan daging atau ayam tu buat kuahnya wangi. Tapi di Terengganu selalu hidangannya ada dimasukkan sekali bebola ikan atau ayam untuk menambahkan lagi rasa.
Selebihnya bahan-bahan mudah je seperti sayuran dan bahan perasa kuah. Untuk perasa pula, mee rebus Terengganu ni agak berbeza sebab masukkan lada hitam.
Selain tu, kuahnya juga kaya dengan sayuran. Nampak lainlah dari mee rebus tempat lain. Simple dan sedap. Biasanya kuah macam ni digemari anak-anak. Mau licin dihirupnya.
RESEPI MEE REBUS TERENGGANU
Kalau di Terengganu tu, bebola ikan atau ayam biasanya mereka buat sendiri. Tapi dalam resepi ni tak masukkan sebarang bebola sebab kekurangan bahan.
Nanti untuk masakan anda boleh masukkan bebola ayam atau ikan, meatball atau pun fishcakes yang sedia dijual. Ikutlah citarasa anda sendiri.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Mee kuning
- Ayam dipotong kecil-kecil
- Bawang merah
- Bawang putih
- Sayur kobis
- Sayur sawi
- Serai
- Lada hitam
- Kiub ayam
- Garam dan gula secukupnya
Cara masak mee rebus Terengganu:
▶️ Mula-mula sediakan bawang merah dan bawang putih.
▶️ Agak-agak banyak mana. Bawang ni nanti dibuat tumis darat.
▶️ Bawang merah perlu diracik halus, manakala bawang putih boleh diketuk sahaja.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Masukkan bawang putih dulu.
▶️ Kemudian tumis sampai garing keperangan. Boleh angkat dan ketepikan.
▶️ Dalam minyak yang sama, tumis bawang merah pula.
▶️ Dah garing kekuningan, angkat juga dan ketepikan.
▶️ Masukkan air dalam kuali tadi, dan masukkan semula bawang yang telah ditumis ke dalamnya. Kalau anda nak cepat, boleh masukkan air panas. Nanti tak perlu tunggu lama ia mendidih.
▶️ Potong ayam kecil-kecil.
▶️ Kemudian masukkan ke dalam kuah yang sedang menggelegak.
▶️ Masukkan serai yang telah diketuk.
▶️ Lepas tu masukkan kiub pati ayam dan lada hitam yang telah ditumbuk halus.
▶️ Boleh rasa-rasa kuah anda. Kalau nak masukkan lada hitam lebih pun boleh.
▶️ Kemudian perasakan dengan garam dan gula. Biarkan kuah mendidih sebati.
▶️ Masukkan sayur kobis.
▶️ Dan akhir sekali masukkan sawi.
▶️ Lepas masuk sawi terus tutup api. Sebab sawi cepat layu dalam kuah yang mendidih.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan.
▶️ Hidangkan dengan bahan tambahan lain untuk menaikkan lagi rasa.
Bahan tambahan:
- Cili cuka (cili padi potong + cuka + garam + gula)
- Limau nipis
- Daun sup
- Bawang goreng
- Kicap pedas (kicap + bawang putih tumbuk + cili tumbuk)
- Kacang tanah (disangai dan ditumbuk halus)
Cara hidangannya:
▶️ Masukkan mee kuning yang telah dibilaskan sikit dengan air panas ke dalam mangkuk.
▶️ Masukkan kuah dan bahan-bahan di dalamnya.
▶️ Taburkan bahan tambahan.
▶️ Gaul sebelum makan.
BACA JUGA: Resepi Mee Sup Utara Penang Paling Simple Dan Senang Je Bahannya.
Sedapnya makan mee rebus ni waktu kuah masih panas. Bila dah tuang kuah tu kenalah terus makan. Nanti kembang pula mee kuningnya.
Tekak kalau tengah tak lalu nak makan, boleh buat mee rebus ni. Segar dan dapat panaskan badan, lagi-lagi buat hidangan minum petang atau makan malam.
Resepi mee rebus Terengganu ni serius sedap dan tak rugi anda cuba. Kena dengan selera orang dewasa dan kanak-kanak. Jangan lupa mencubanya.