Terasa nak makan nasi ayam tapi malas nak buat beriya-iya sangat. Ini dia resepi nasi ayam simple tapi sangat sedap yang anda boleh buat untuk hidangan keluarga. Bila sebut nasi ayam, anak-anaklah yang paling menggemarinya.
Hidangan nasi ayam yang betul-betul lengkap biasanya perlu ada nasi, ayam, sup, kuah sos dan juga kuah kicap. Selebihnya ialah sayuran atau salad. Cuma yang berbezanya ialah cara memasaknya terutama ayam. Ada yang bakar, ada juga yang goreng biasa.
Cara masakan sebenarnya ikut citarasa sendiri. Dek kerana ada banyak cara penyediaan nasi ayam, perkongsian kali ni kita pilih resepi paling simple dan mudah untuk disediakan. Bagi ‘beginner’ yang baru nak belajar masak pun boleh rujuk resepi yang dikongsikan oleh Hawa Aziz ni.
Kebiasaannya untuk nasi ayam ni, ayamnya direbus dahulu sebelum digoreng atau pun dibakar. Jadi bila nak masak nanti, tak perlu lagi menggorengnya lama. Tambahan lagi rasa ayamnya akan lebih juicy.
Rasa ayam juga lebih berperisa sebab diperap dulu sebelum digoreng. Sangat sedap bila dihidangkan dengan nasinya yang lembut dan wangi. Jom lihat cara memasaknya.
RESEPI NASI AYAM
Resepi nasi ayam yang simple ni menarik sebab bahan-bahan tumisan untuk masak nasinya wangi dan beraroma. Untuk airnya gunakan air rebusan ayam untuk menaikkan lagi rasa.
Bahan untuk nasi:
- 5 cawan beras
- 2 helai daun pandan
- 1 batang serai (diketuk)
- 2 kuntum bunga lawang
- 2 sudu butter atau merjerin
- Air rebusan ayam
- Serbuk kunyit
- Garam
Bahan untuk ayam:
- 1 ekor ayam
- 2 sudu makan madu
- 2 sudu makan kicap
- 2 sudu makan sos tiram
- 2 inci halia (ditumbuk halus)
- 2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
Bahan untuk sos:
- 8 tangkai cili merah
- 5 tangkai cili api
- 2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
- 2 inci halia (ditumbuk halus)
- 2 sudu cuka makan
- 1 sudu gula
- 1 sudu kecil garam
Bahan untuk kuah kicap:
- 3 sudu makan kicap manis
- 1 inci halia (ditumbuk halus)
- 2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
- Air lebihan perapan ayam
Cara masak nasi ayam:
▶️ Mula-mula panaskan periuk atas dapur. Masukkan marjerin atau butter dan biarkan mencair.
▶️ Masukkan bunga lawang, serai dan daun pandan. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Padamkan api dan masukkan ke dalam rice cooker.
▶️ Kemudian masukkan beras dan juga air rebusan ayam.
▶️ Biasanya kalau masak nasi 5 cawan, air rebusan ayam dimasukkan 6 cawan. Namun bergantung juga pada jenis beras anda.
▶️ Masak nasi seperti biasa.
Cara masak ayam:
▶️ Mula-mula rebuskan ayam dahulu dengan bahan yang ditumbuk halus.
▶️ Lepas ayam dah direbus, keluarkannya dan masukkan dalam 1 bekas lain.
▶️ Masukkan kicap manis, sos tiram, madu dan bahan tumbuk halus. Gaulkan sebati.
▶️ Perapkan ayam sekurang-kurangnya 30 minit.
▶️ Dah perap, boleh goreng seperti biasa dalam api yang sederhana.
▶️ Dah siap.
Cara buat sos:
▶️ Kisarkan cili merah dan juga cili api.
▶️ Panaskan kuali, dan masukkan cili yang dikisar tadi, cuka makan, bahan tumbuk halus, garam dan gula secukup rasa.
▶️ Masakkan sekejap atas dapur, dan boleh padamkan api.
Cara buat kuah kicap:
▶️ Satukan air lebih ayam, kicap manis dan juga bahan yang ditumbuk halus.
▶️ Gaulkan sebati, dah siap!
Cara buat sup:
▶️ Untuk buat sup ni mudah je. Sup ni dibuat dari lebihan air rebusan ayam.
▶️ Dalam kuali, masukkan air rebusan ayam ni dan masukkan bahan ditumbuk halus iaitu bawang putih dan halia.
▶️ Kemudian masukkan 1 biji bawang besar yang diracik, daun sup dan juga tulang ayam (jika suka).
▶️ Kalau anda nak tambahkan lobak merah dan ubi kentang pun boleh juga.
BACA JUGA: Resepi Nasi Planta Dan Ayam Masak Merah Sedap Macam Kenduri. Tak Cukup Sepinggan.
Sedia hidangkan kesemuanya iaitu nasi, ayam, sup, kuah sos dan kicap, serta sayuran ulaman seperti salad, tomato dan timun.
Resepi simple macam ni kalau makan waktu panas-panas cukup menyelerakan. Kebiasaannya nasi ayam ni lebih sedap kalau nasi dimasak lembut atau tak kirai. Amat sedap kalau makan sambil menghirup kuah supnya.
Kalau selama ni anda mencari resepi nasi ayam yang simple dan sedap, resepi ni sesuai untuk anda ikuti. Jangan lupa mencubanya!