Musim pandemik ni kurang dah dapat makan nasi berperisa yang sedap-sedap kat kenduri. Tak kira nasi beriyani ke, nasi minyak ke. Apa kata jom buat salah satu nasi berperisa yang sedap ni iaitu nasi planta. Padu juga rasa dia sebab wangi dengan planta dan juga bahan rempah.
Buat lengkap siap dengan ayam masak merah dan acar. Fuhh, bila buat sendiri ni tak payah heboh lagi nak makan nasi berperisa dan lauk sedap-sedap kat kenduri tu. Nasi planta ni lebih kurang sama je cara masaknya macam nasi minyak, nasi tomato atau nasi berperisa lain.
Mesti kena tumis bahan-bahan dulu antaranya planta, rempah 4 sekawan, daun pandan dan sebagainya. Itu yang buatkan sedap sebab aromanya semerbak. Barulah selepas tu dimasukkan beras dan masak nasi seperti biasa.
Resepi nasi planta dan ayam masak merah ni ada dikongsikan oleh Noriza Awang Hamat. Senang je cara masaknya. Bukan je ada resepi nasi planta, ditunjukkan juga cara masak ayam masak merah yang simple tapi sedap macam kenduri.
Bila dah ada nasi planta dan ayam masak merah, kenalah ada acar pula kan. Barulah lengkap. Jadi, buat sekali acar timun sebagai pelengkap hidangan. Jom saya kongsikan resepinya.
RESEPI NASI PLANTA DAN AYAM MASAK MERAH
Masak nasi berperisa ni selalunya sedap masak dengan beras basmathi. Kalau nak guna beras lain pun boleh juga. Ikut sukatan air yang sesuai dengan beras anda.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Beras basmathi 3 cawan (rendam dan toskan siap-siap)
- Marjerin atau planta 3 sudu besar
- Air 3 ½ cawan
- Susu cair 1 cawan
- Bunga lawang 2 kuntum
- Kulit kayu manis 2 batang
- Buah pelaga 3 biji
- Daun pandan 2 helai
- Garam secukupnya
- 1 kiub stok ayam
- Pewarna kuning
Bahan kisar:
- Bawang merah 6 biji
- Bawang putih 3 ulas
- Halia sedikit
Bahan hiasan:
- Bawang goreng
- Daun bawang dihiris
Cara masak nasi planta:
▶️ Panaskan periuk nasi, dan masukkan planta atau marjerin. Biarkan mencair.
▶️ Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis sehingga naik bau.
▶️ Masukkan 3 sekawan dan juga daun pandan yang disimpulkan. Tumis lagi sehingga naik aroma.
▶️ Seterusnya masukkan beras, garam, air, susu cair dan juga stok kiub ayam. Kacau sehingga sebati. Air tu ikut sukatan yang sesuai untuk beras anda.
▶️ Kemudian masak nasi seperti biasa.
▶️ Setelah nasi dah kering sikit, titiskan pewarna kuning.
▶️ Dan bila nasi lagi kering, kacau nasi sekata. Biarkan seketika sampai betul-betul masak.
▶️ Dah siap, boleh buat lauk ayam masak merah pula.
Bahan ayam masak merah:
- Ayam ½ ekor dicuci dan dipotong kecil-kecil. Kemudian lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam.
- Goreng ayam sampai separuh masak.
Bahan untuk dikisar:
- Cili kering 20 biji yang dah siap direbus.
- Bawang besar 1 labu
- Bawang merah 4 biji
- Bawang putih 5 ulas
Bahan lain:
- Rempah 4 sekawan
- Asam keping
- Sos cili dan sos tomato sedikit
Cara masak ayam masak merah:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian masukkan rempah 4 sekawan.
▶️ Selepas tu masukkan bahan yang dikisar dan tumis sehingga naik bau.
▶️ Kemudian masukkan sos cili, sos tomato, asam keping, garam dan gula.
▶️ Kacau sekata, dan tumis sehingga pecah minyak.
▶️ Akhir sekali masukkan ayam yang dah digoreng tadi. Gaulkan sekata ayam dengan sambal.
▶️ Tutup api. Taburkan bawang goreng dan hirisan daun bawang.
▶️ Dah siap. Sekarang sediakan acar timun pula.
Bahan-bahan untuk acar timun:
- Timun 1 batang
- Lobak merah 1 batang
- Bawang besar 1 biji
- Cili merah 1 biji
- Cuka makan sikit
- Garam dan gula secukup rasa
Cara penyediaan acar timun mentah:
▶️ Potong mayang atau panjang-panjang untuk semua bahan di atas.
▶️ Dan gaulkan dengan sedikit cuka makan, garam dan gula secukup rasa.
▶️ Siap. Dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi planta dan ayam masak merah.
BACA JUGA: Resepi Nasi Ulam Terlajak Sedap. Tak Sangka Boleh Jadi Idea Menu Diet Sihat!
Sedapnya kalau buat hidangan istimewa hujung minggu. Confirm anak-anak makan berselera. Muak juga kan asyik makan nasi putih lauk biasa je. Buat nasi berperisa ni lebih membangkit selera.
Kalau ada tetamu, boleh juga buat resepi nasi planta dan ayam masak merah ni. Sebab mudah je penyediaannya. Tak perlu susah-susah fikir nak masak lauk yang pelbagai. Jangan lupa mencubanya!