Segalanya Tentang Makan..

Resepi Rempeyek Kacang Dhal Rangup Krup Krap. Bahan Ringkas Dan Mudah Je Cara Buatnya!

0 8,524

Rempeyek ni memang sejenis kerepek yang sedap kalau dijamah. Kalau dah makan tu susah nak berhenti. Selalunya paling famous ialah rempeyeh kacang tanah dan ikan bilis. Tapi kali ni jom kita cuba resepi rempeyek kacang dhal pula.

Rempeyek kacang dhal ni lagi sedap kalau buat gorengan yang nipis dan sekata. Orang kata rasanya lebih gemersik. Selalunya sedap dimakan waktu raya. Tapi sebabkan resepinya mudah je seperti yang dikongsikan oleh Zaimah Zakaria ni, bolehlah buat untuk snek santai-santai di rumah.

Sedap betul dimakan kalau teragak snek yang rangup, sedap dan wangi. Asas bahan rempeyek ni selain kacang dhal tu ialah rempah ratusnya.

Semua bahan rempah akan ditumbuk dan kemudian digaul dengan adunan tepung. Bila digoreng tu buatkan sedap dan akan menaikkan lagi rasa.

Adunan tepung ni nanti akan dibancuh cair. Itulah tips untuk dapatkan hasil gorengan yang nipis dan sekata. Cara gorengan pun ada caranya supaya tak pecah atau gorengannya terlerai.

 

RESEPI REMPEYEK KACANG DHAL

Lepas goreng sebaiknya simpan dalam bekas kedap udara supaya rempeyek kekal rangup. Dah alang-alang buat tu, buatlah sekali banyak. Nanti boleh simpan dan makan berulang-ulang.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Tepung beras 300 gram
  • Tepung ubi atau tepung sagu 100 gram
  • Telur 2 biji
  • Bawang putih 5 ulas
  • Bawang merah kecil 3 biji
  • Biji ketumbar 1 sudu kecil
  • Jintan manis 1 sudu kecil
  • Jintan putih 1 sudu kecil
  • Kapur makan 1 sudu kecil
  • Air 600 ml
  • Kacang dhal 1 cawan (rendamkan selama 2 jam)
  • Garam secukupnya

Cara buat rempeyek kacang dhal:

▶️ Mula-mula tumbuk semua bawang, biji ketumbar dan juga semua jintan. Lepas tu ketepikan.

▶️ Kemudian bancuh air kapur dengan 600 ml air tadi.

▶️ Sediakan 1 mangkuk atau besen, kemudian satukan kesemua tepung, telur dan juga bahan tumbuk tadi. Gaulkan sebati.

▶️ Lepas tu masukkan sikit demi sedikit bancuhan air kapur. Kacau sekata. Nanti adunan akan kelihatan sedikit cair.

▶️ Kemudian masukkan kacang dhal.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali.

▶️ Setelah panas, sendukkan adunan dan tuang di tepian kuali.

▶️ Bila dah lekang, turunkan perlahan-lahan ke dalam minyak.

▶️ Biarkan masak sampai warna keperangan. Kemudian boleh angkat dan letak atas tisu.

▶️ Dah kering minyak, masukkan dalam bekas kedap udara.

 

BACA JUGA: Resepi Kuih Bawang Versi Sabah. Rangup Dan Enak. Cara Buat Paling Mudah.

 

Sedap dimakan rangup-rangup bila lepas digoreng tu. Lagi-lagi rempahnya tu cukup berasa. Sedap je bau semerbak haruman rempah.

Kalau anda suka letakkan ikan bilis macam rempeyek kacang tanah tu, boleh je masukkan. Ikut citarasa masing-masing. Buat kudapan sambil tengok tv, mau tak sedar sebalang dah habis.

Kongsikanlah resepi rempeyek kacang dhal rangup dan sedap ni di Fb anda. Supaya dapat manfaatnya bersama. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.