Nama tauhu begedil ni memang tak asing lagi. Antara makanan bergoreng yang amat digemari. Rasanya sedap dengan pelbagai jenis lauk pilihan. Nak buatnya tak susah sangat pun. Malah lebih untung buat sendiri ni sebab boleh tentukan jenis lauk yang ingin dimasukkan.
Kalau selama ni beli kat kedai atau pasar malam je, apa kata buat sendiri resepi tauhu begedil sedap dan padat isinya seperti yang dikongsikan oleh Noor Aishah Razali ni. Cukup rencah, isi ayam, sayuran dan perasanya.
Bila dah ada tauhu begedil ni, sambal kicapnya wajiblah ada. Sedap sangat dimakan panas-panas lepas goreng. Kebanyakan perniaga pun buat tauhu begedil ni dengan resepi yang hampir-hampir sama.
Kalau anda memang peminat tauhu begedil, eloklah buat sendiri daripada beli sebab jauh lebih jimat dan dapat makan puas-puas ikut selera sendiri.
Resepi kali ni, tauhu begedilnya dimasak dengan isi lauk yang padat. Itu yang buat sedap bila digoreng garing dan dicicah pula dengan sambal kicap yang pedas dan cukup berasa.
RESEPI TAUHU BEGEDIL SEDAP DENGAN SAMBAL CICAH
Antara bahan yang selalu jadi pilihan lauknya ialah ayam dan juga kentang. Selain tu, ada juga lebih sukakan daging dan penambahan cendawan butang. Sebenarnya ikut citarasa sendiri. Itu yang untung bila buat sendiri sebab boleh ikut selera yang diinginkan.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Tauhu kering 1 bungkus besar
- Kentang 3 biji yang dipotong dan digoreng atau direbus
- Isi ayam kisar 1 cawan
- Bawang merah 1 biji
- Sedikit daun sup
- Serbuk lada putih secukupnya
- Kiub ayam Knor
- Telur 2 biji (bahan celup tauhu sebelum digoreng)
Cara buat tauhu begedil:
▶️ Mula-mula perlulah goreng atau rebus kentang dahulu. Ketepikan.
▶️ Kemudian panaskan sedikit minyak dalam kuali, dan tumiskan bawang merah, ayam cincang, kiub ayam Knor dan daun sup.
▶️ Lepas dah tumis, masukkannya dalam 1 mangkuk beserta dengan kentang yang dah digoreng atau direbus tadi. Masukkan juga serbuk lada putih.
▶️ Kemudian lenyekkan bahan-bahan ni dan gaul sekata untuk sebatikannya. Kalau ada chopper, boleh gunakannya untuk lagi mudah dan cepat.
▶️ Untuk tauhu, guntingkan bahagian atasnya dan keluarkan isi.
▶️ Jangan membazir pula. Isi tauhu ni boleh masukkan dalam mangkuk bahan tadi dan gaulkan sekali.
▶️ Kemudian sumbatkan bahan yang digaulkan ni ke dalam tauhu semula. Buat padat-padat dan seberapa banyak dapat.
▶️ Pecahkan telur dalam mangkuk dan ketukkan sebati.
▶️ Celup tauhu begedil yang dah disumbat ni ke dalam telur. Tujuannya untuk rasa lebih garing dan rangup, serta untuk elakkan isinya terkeluar.
▶️ Kemudian gorengkan dalam minyak yang panas.
▶️ Dah garing, boleh angkat dan toskan.
Bahan-bahan sambal cicah:
- 5 tangkai cili padi digoreng dan dikisar
- 4 ulas bawang putih digoreng dan dikisar
- 4 sudu kicap manis
- Air asam jawa sedikit
Cara penyediaannya:
▶️ Gaulkan je kesemua bahan sehingga sebati.
▶️ Sedia untuk dihidangkan bersama tauhu begedil.
BACA JUGA: Cara Buat Roti Sardin Gulung Goreng Tepung! Sedap Sangat Garing Di Luar Lembut Di Dalam!
Sedapnya kalau dapat buat tauhu begedil ni untuk hidangan minum petang. Lagi-lagi bila digoreng garing. Tak susah pun nak buatnya. Kalau nak ikutkan nak buat inti atau isinya tu boleh agak-agak bahan dan rasanya. Janji kena dengan selera.
Sos pencicah pun cukup rasa pedas untuk membangkitkan lagi selera. Lepas ni dah tahu buat sendiri ni tak perlu lagi dah beli tauhu begedil di luar. Selamat mencuba!