Selalunya kalau time sahur, anak-anak mesti liat nak bangun kan. Apa kata jom pancing mereka dengan resepi telur pecah sambal 3 rasa ni. Antara menu sahur yang marvelous. Kalau makan confirm sampai menjilat jari. Bukan anak-anak je. Dengan ibu bapa pun berselera.
Cara gorengan telurnya special sikit. Telur dipecah dan goreng dalam sambal yang tengah mendidih. Rasa telur akan lebih juicy sebab sambal meresap ke dalamnya semasa digoreng. Itu yang buatkan sedap sebab tekstur telur lembut dan berperisa.
Kuahnya pula lengkap dengan rasa masam, manis dan pedas. Dimasak pula pekat-pekat. Nikmat sangat bila digaulkan dengan nasi panas-panas.
Kalau nak buat pedas, boleh lebihkan cili kisar. Kalau anak-anak suka yang pedas-pedas manis, boleh adjust kan bahan sos.
Jom ikuti perkongsian resepi telur pecah sambal 3 rasa dari Liza Idris ni. Bahan-bahan mudah dan sangat ringkas.
RESEPI TELUR PECAH SAMBAL 3 RASA
Resepi ni untuk 3 biji telur. Kalau anda nak goreng telur lebih, boleh gandakan sukatan bahan supaya sambalnya cukup untuk digaulkan dengan telur. Pastikan berpadanan. Jangan sambal kering sangat sebab nanti tak dapat masukkan telur ke dalamnya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Bawang besar 1 biji
- Bawang putih 2 ulas
- Telur ayam 3 biji
- Cili kering kisar 3 sudu besar
- Sos tiram 1 sudu besar
- Sos cili 1 sudu besar
- Sos tomato 1 sudu besar
- Air 1 cawan
- Daun bawang jika suka
Cara masak telur pecah sambal 3 rasa:
▶️ Mula-mula hiriskan bawang besar dan bawang putih halus-halus.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan masukkan bawang-bawang ni.
▶️ Tumis sehingga garing dan naik bau.
▶️ Kemudian masukkan cili kering kisar dan tumis lagi sampai terbit minyak.
▶️ Seterusnya masukkan pula ketiga-tiga jenis sos dan kacau sehingga sebati.
▶️ Biarkan sambal terus digoreng elok sampai masak dan pecah minyak.
▶️ Kemudian masukkan air sedikit. Kacau lagi sehingga kuah kelihatan sedikit pekat.
▶️ Perasakan dengan garam secukup rasa.
▶️ Boleh rasa dulu. Kalau manis dan masin kurang berasa, boleh masukkan gula dan garam lagi. Adjust rasanya bagi sekata.
▶️ Bila kuah dah nampak cantik dan pekat, pecahkan telur ke dalam sambal yang tengah mendidih tu.
▶️ Sementara telur tengah masak, taburkan daun sup. Kalau tak letak pun tak apa. Rasa masih sedap.
▶️ Jangan kacau telur tu supaya ianya tak hancur. Biarkan je masak.
▶️ Terbalikkan telur supaya masak sama rata. Bila dah masak boleh padamkan api.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan!
Telur pecah sambal 3 rasa ni kalau makan dengan nasi panas-panas memang padu rasanya. Tak perlu lauk lain lagi dah, cukup berselera makan. Silap-silap sampai bertambah nasi.
Kalau ibu-ibu pening nak masak lauk simple apa, bolehlah buat resepi ni. Selalunya kalau buat masak makan malam paling senang sekali. Lauk ni dikira simple tapi rasanya amat sedap dan menyelerakan. Selamat mencuba!