Pening juga kadang-kadang nak fikir idea makanan anak ke sekolah. Biasanya menu berasakan roti ni paling senang nak buat dan tahan lama kan? Apa kata jom buat sandwich roll simple dan sedap macam yang dikongsikan oleh Fidzah Saad ni.
Bahannya nak ikutkan simple je, tapi mesti kena dengan selera tekak anak-anak anda. Selain buat bekal ke sekolah, mak ayah nak buat bekal ke pejabat pun boleh. Nak buat menu berkelah pun sesuai. Sebab roti sandwich ni mengenyangkan.
Nak letak bahan apa di dalamnya sebenarnya ikut selera masing-masing juga. Yang buatkan puas makan tu bila inti padat, cukup rasa, dan lengkap bahan inti dan sayurannya. Sebab tu lah kalau makan sandwich ni cukup kenyang.
Lagi pula letak inti sardin, telur dan sebagainya. Untuk sos, boleh letak sama ada sos cili, sos tomato, mayonis, cheese atau lada hitam. Ikut selera masing-masing. Kalau tak nak pun tak apa.
Resepi ni nampak sedap dan menyelerakan sebab tak kedekut bahan. Bak kata orang tu, makan nak sampai puaslah. Tapi kalau anda nak kurangkan mana yang patut pun boleh. Terpulang.
RESEPI SANDWICH ROLL SIMPLE DAN SEDAP
Untuk roti, anda boleh guna jenis roti apa yang anda suka. Kalau berdiet, boleh guna roti wholemeal. Cuma jangan guna roti berperisa macam butterscotch tu pula sudah lah. Lain rasanya nanti.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Untuk sandwich telur mayo:
- 3 biji telur rebus
- Mayonis secukupnya
- Tomato (dipotong dadu)
- Serbuk lada putih
*Lenyekkan telur dan gaul dengan semua bahan sehingga sekata.
Untuk sandwich sardin mayo:
- Sardin
- Mayonis
- Tomato (dipotong dadu)
- Bawang (dipotong dadu)
- Lemon
*Lenyekkan ikan sardin, lepas tu gaulkan dengan kesemua bahan lain. Perahkan sikit lemon untuk rasa masam-masam. Tapi kalau tak nak pun tak apa.
Bahan lain:
- Roti (putih atau wholemeal)
- Crabstick
- Sosej
- Salad
- Timun (optional)
- Lobak merah (optional)
- Sos pilihan (cili, tomato, cheese, mayonis, black pepper)
Cara buat sandwich roll:
▶️ Mula-mula rebus crabstick dan sosej. Kalau nak skip salah satunya pun tak apa. Ikut selera anda.
▶️ Ambil roti sekeping-sekeping, lepas tu lenyekkan supaya leper.
▶️ Isikan inti ikut pilihan anda iaitu inti sardin atau inti telur yang dah dibuat tadi.
▶️ Sapu rata di hujung roti. Yang ini terpulang nak letak banyak mana inti anda.
▶️ Letak crabstick atau sosej yang telah direbus atas inti.
▶️ Kemudian letakkan salad. Kalau nak tambah timun atau lobak merah pun boleh jika suka.
▶️ Dah boleh gulung.
▶️ Siap. Sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Roti Bakar Sosejk Cheese Paling Senang, Buat Untuk Anak-Anak. Confirm Cepat Habis.
Untuk bahan sos, nak picit atas roti pun boleh. Atau sama ada nak picit sikit dalam roti sandwich. Boleh jadi sebagai penambahan rasa kalau anda suka.
Sesetengah orang suka makan sandwich macam tu je. Sebab intinya dah cukup sedap. Tak perlu letak sos apa-apa lagi.
Roti sandwich roll simple dan sedap ni sesuai juga nak buat hidangan untuk tetamu. Buat dekorasi cantik-cantik. Bolehlah nanti cuba.