Sekarang ni kalau beli roti john di bazaar Ramadhan, rasa pasrah je kan dengan harganya yang mahal. Sebab dah teringin sangat, relakan je hati untuk beli. Sebenarnya buat sendiri roti john ni lagi puas, malah boleh ikut kehendak hati untuk letakkan isi banyak mana yang kita suka.
Bahan dan rencahnya pun boleh masukkan ikut citarasa sendiri. Mujur jumpa resepi yang dikongsikan oleh Hana A Razak ni. Ada idea untuk buat roti john yang super sedap kalah bazar Ramadhan. Yang penting sedap, ikut selera dan jauh lebih jimat. Dapat makan dengan puas sekeluarga.
Menariknya bila buat sendiri roti john ni, kita tahulah sebenarnya tak banyak pun bahan yang diperlukan untuk hasilkan roti john yang sedap. Yang penting cukup rencah dan isi ayam atau daging. Bila buat sendiri boleh letak isi yang lebih ikut tekak kita mahu.
Bahan-bahan tambahan seperti sayuran, sos dan mayonis pun boleh letakkan ikut citarasa. Bukan tu je, nak letak extra sos seperti sos cheese pun boleh juga. Kalau di bazaar Ramadhan, setiap bahan extra ni ada harga tambahannya.
Jom kita lihat cara buat roti john sedap dan padat isinya ni. Panjang lagi baki hari bulan Ramadhan yang ada. Boleh nanti kita buat dan hidangkan untuk keluarga.
RESEPI ROTI JOHN SUPER MARVELOUS
Resepi ni gunakan ayam cincang dan juga serbuk kari ayam. Kalau anda nak tukar selera pada roti john daging, gantikan dengan daging cincang dan juga serbuk kari daging.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Roti panjang
- Bawang merah 3 biji (dikisar atau dikisar)
- Ayam cincang ½ paket
- Serbuk kari ayam ½ paket
- Telur 2 biji
- Serbuk lada hitam
- Garam secukup rasa
- Kobis
- Sos cili
- Mayonis
Cara buat roti john sedap:
▶️ Mula-mula panaskan sikit minyak dalam kuali. Masukkan bawang merah yang dikisar dan tumis sehingga garing dan naik bau.
▶️ Kemudian masukkan ayam cincang. Masak sehingga air ayam keluar habis.
▶️ Masukkan serbuk kari ayam ½ paket. Kalau nak masukkan atau add on serbuk paprika pun boleh. Ikut citarasa.
▶️ Lepas dah masukkan serbuk kari, masukkan sedikit air. Gaulkannya dan bagi serbuk kari masak sekejap.
▶️ Kemudian taburkan serbuk lada hitam sedikit.
▶️ Dan gaul sebati. Teruskan masak sehingga terbit minyak.
▶️ Bila airnya macam dah kering sikit, perasakan dengan garam.
▶️ Dah siap masak. Tutup api dan angkat.
▶️ Kemudian pecahkan telur dalam mangkuk. Dan masukkan bahan yang dimasak tadi ke dalamnya. Gaul sehingga sekata. Boleh masukkan garam sikit. Tapi kalau tak nak pun tak apa.
▶️ Panaskan pan atau kuali leper. Ceduk adunan dengan senduk besar, dan ratakan atas kuali. Boleh agak-agak ikut saiz roti.
▶️ Tekapkan dengan roti yang dah disapukan butter atau planta sedikit.
▶️ Dah garing je isi, boleh angkat.
▶️ Letakkan kobis yang disagat. Kalau nak tambah lobak merah pun boleh.
▶️ Kemudian picitkan sos cili dan juga mayonis.
BACA JUGA: Cara Buat Murtabak Daging Sedap Ala Bazaar. Dengan Kulit Yang Garing Dan Isi Yang Padat!
▶️ Tutupkan roti. Dan kerat beberapa bahagian untuk dihidangkan.
▶️ Dah siap!
Nyummy.. Kalau buat waktu tengah berpuasa, memang telan air liur dibuatnya. Isi yang tebal dan banyak tu buatkan roti john ni nampak menyelerakan.
Kalau nak tambah sos cheese atau sos lada hitam terpulang pada anda. Ikut jenis hidangan yang digemari. Kadang-kadang ada juga yang tak berapa suka sayur, jadi boleh kurangkan. Selamat mencuba!