Selalu kalau anda masak tomyam, gunakan pes apa? Yang segera dijual dalam pek tu ke, atau gunakan pes tomyam Thai? Ada juga yang buat rencah sendiri kan. Kali ni apa kata jom buat pes tomyam homemade sebekas terus dan simpan untuk dimasak akan datang. Ada resepi atau cara buat pes tomyam power yang pasti buat anda teruja.
Bau dia, fuhh.. Terus menangkap ke hidung. Pesnya pun dah berbau mantap masa dikisar, apatah lagi masa nak masak dan masukkannya dalam minyak panas. Waktu berdesir tu naik aroma pes tomyam yang ada pelbagai bahan yang dikisar hancur.
Bahan semua tak ada yang pelik-pelik pun atau susah nak dapat. Semua bahan yang biasa kita guna dan ada di dapur. Perkongsian resepi pes tomyam power ni ada dikongsikan oleh Norashikin Bt Hasan. Tengok bahannya pun dah tau pes tomyam ni ada rasa masam, manis, pedas dan wangi.
Bila lihat kepekatan pes dan warnanya dah macam pes segera yang dijual dalam pek tu. Eloklah buat sendiri pes supaya senang lepas ni nak masak tomyam berulang kali. Bila anak-anak dan suami minta masakkan tomyam, boleh campak-campak je terus. Sekejap dah siap.
Dalam bahan-bahan yang dikisar ni ada cili merah hidup dan juga cili kisar untuk bagi rasa pedas. Tapi tak perlu letakkan banyak supaya mudah anda nak buat tomyam tak pedas untuk anak-anak. Nanti kalau nak buat tomyam pedas untuk anda, baru masukkan cili padi masa masak kuahnya.
RESEPI PES TOMYAM POWER
Nak buat pes tomyam ni, bahan kisar semua akan digoreng sampai masak dan pecah minyak. Kemudian baru simpan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam peti sejuk. Sebab tu boleh buat sekali banyak sebab ianya tahan lama.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Bawang besar 2 biji
- Serai 4 batang (kalau serai besar letak 2-3 batang je)
- Cili hidup merah 2 biji
- Lengkuas 5 hiris
- Daun limau purut 7 helai (kira cara tak bercantum)
- Udang kering 4 sudu makan
- Ikan bilis 10 ekor (optional untuk bagi lagi berasa seafood)
- Belacan 4 inci
- Cili kering kisar 3 sudu
- Air asam jawa
- Gula perang
- Garam asli
Cara buat pes tomyam power:
▶️ Masukkan kesemua bahan ke dalam blender kecuali air asam jawa, gula dan garam.
▶️ Masukkan air sedikit kemudian kisar sehingga hancur dan lumat.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian masukkan bahan kisar ni dan tumis sehingga masak dan pecah minyak. Masak gunakan api perlahan je.
▶️ Bau akan semerbak harum dengan aroma serai dan daun limau purut. Dah bau dah tomyam dia.
▶️ Bila dah pecah minyak, masukkan air asam jawa dan gula perang. Kacau sehingga sebati.
▶️ Dah masak je, boleh padamkan api dan masukkan garam asli.
▶️ Kenapa suka pakai garam asli, sebab garam ni bersifat detox. Dah alang-alang tu boleh pakai untuk buang toksin dalam badan. Namun kalau nak gunakan garam biasa pun boleh juga.
▶️ Masukkan pes ni dalam botol. Tunggu sejuk dulu, kemudian baru masukkan dalam peti ais. Dah siap!
BACA JUGA: Cara Buat Lontong Sedap Versi Hari Raya. Sedap Sangat Hirup Kuah Sampai Licin!
Mudah je kan nak buat pes tomyam ni sebenarnya. Punyalah selama ni nak masak tomyam rasa malas-malas sebab fikirkan susah nak buat rencahnya. Nak beli pek segera tu takut tak sedap dan tak kena dengan citarasa pula kan.
Bila dah tau resepi pes tomyam power dan mudah je ni, bolehlah buat sekali banyak buat stok dalam peti sejuk. Bila nak masak, sediakan bahan lauk dia je.
Bolehlah simpan resepi ni untuk mudah anda nak ikutnya nanti. Kongsikan di wall Fb anda supaya senang nak cari resepi ni semula. Selamat mencuba!