Bagi penggemar nasi arab mesti tahu bahawa nasi arab ni sebenarnya ada bermacam jenis ikut region asalnya. Salah satunya ialah nasi bukhari. Tapi walaupun berbeza dari segi bahan dan cara masakan, tak dinafikan kesemuanya mempunyai rasa yang sedap, berlemak dan wangi dengan aroma rempah.
Nasi bukhari ni amat popular di Afghanistan dan Pakistan. Tapi dah mula tersebar di serata dunia. Antara nasi arab yang menjadi kegemaran ramai. Malah nasi ni sendiri mempunyai pelbagai cara masakan dan hidangan mengikut tempat dan kaum masyarakatnya.
Kebiasaannya nasi arab bukhari ni dihidangkan dengan ayam, kambing dan daging lembu. Kali ni jom kita cuba resepi nasi arab bukhari yang paling simple sekali, dengan hidangan lauk yang sedap iaitu dalca daging.
Bila dah mula digemari di serata dunia, dah tentu resepi dan cara masakan pun mula diubah suai ikut citarasa. Kadang-kadang lebih kepada nak ikut selera tekak dan nak masak dengan cara yang mudah.
Resepi nasi bukhari dan kuah dalca daging yang dikongsikan oleh Tengku Roselyza Raja Muhammad ni antara yang mudah dan sedap yang boleh anda cuba.
RESEPI NASI BUKHARI DAN KUAH DALCA DAGING
Nasi arab ni lazimnya dimasak dengan beras basmathi dan dimasak dengan bahan rempah ratusnya. Antara sebab nasi bukhari ni amat disukai di Malaysia sebab kat sini terdapat rempah khasnya yang amat sedap dan mudah untuk dimasak.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Beras basmathi 3 cawan
- Air 3 cawan
- Susu krimer carnation ½ tin
- Minyak sapi 4 sudu
- Bawang holland 1 biji dipotong dadu
- Sedikit pewarna kuning telur
- Rempah nasi bukhari 1 mangkuk kecil
- Kismis/gajus
- Rempah 4 sekawan
Cara masak nasi bukhari:
▶️ Panaskan periuk dan masukkan minyak sapi. Biarkan mencair. Kalau tak ada minyak sapi boleh gunakan minyak masak biasa.
▶️ Kemudian masukkan bawang holland dan tumis sampai naik bau.
▶️ Masukkan rempah 4 sekawan dan rempah nasi bukhari yang dibancuhkan dengan sedikit air. Kacau sehingga pecah minyak.
▶️ Kemudian masukkan susu krimer dan juga beras. Kacau manja-manja untuk sebatikannya.
▶️ Masukkan garam secukupnya. Masukkan juga kismis dan gajus.
▶️ Masak nasi seperti biasa.
▶️ Selepas nasi dah masak, titiskan pewarna. Kemudian tutup tudung periuk dan biarkan kering lagi.
▶️ Dah masak sepenuhnya bolehlah gemburkan nasi secara berhati-hati.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Bahan-bahan untuk kuah dalca daging:
- Kacang dhal (rendam semalaman dan rebus sehingga empuk)
- Rempah dhal ½ paket (boleh dapati di kedai india)
- Bawang putih, bawang merah dan halia (kisar sekali)
- Asam keping
- Rempah 4 sekawan
- Biji sawi 2 sudu besar
- Cili kisar
- Daging ½ kilo (direbus)
- Santan (optional)
- Terung dipotong bulat
- Kentang dipotong 4
- Lobak merah dipotong
- Kacang panjang dihiris panjang
Cara masak kuah dalca daging:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Kemudian masukkan bahan kisar, rempah sekawan dan biji sawi. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Selepas tu masukkan cili kisar dan tumis sampai pecah minyak.
▶️ Masukkan bancuhan rempah kacang dhal dan tumis lagi sehingga pecah minyak.
▶️ Kalau nampak kering boleh tambahkan air jika perlu.
▶️ Masukkan daging dan tumis lagi.
▶️ Kalau anda nak masukkan santan, boleh masukkan waktu ni.
▶️ Kemudian masukkan kentang dan lobak merah. Biarkan masak sehingga empuk.
▶️ Selepas lobak merah dan kentang dah empuk, boleh masukkan kacang dhal yang dah direbus. Kacau rata.
▶️ Masukkan terung, kacang panjang dan juga tomato.
▶️ Bila kuah dah nampak pekat, boleh tambahkan lagi air dan perasakan dengan garam secukup rasa.
▶️ Biarkan masak sikit lagi. Dah siap, padamkan api.
BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Madu Merah Menyala. Sedap Makan Dengan Nasi Putih Atau Nasi Berperisa.
▶️ Hidangkan bersama dengan nasi arab bukhari.
Kalau nak lagi berselera, bertambah sedap kalau dihidangkan sekali dengan ayam masak merah. Kadang kala ada daging dalca dan ayam masak merah barulah rasa sempurna, kan?
Sedap sangat kalau buat nasi bukhari ni sebagai juadah istimewa hujung minggu. Yang tak biasa buat nasi arab pun boleh buat ikut resepi ni.
Resepi nasi bukhari yang sedap dan mudah yang dikongsikan ni boleh jadi panduan anda kalau inginkan hidangan yang simple, mudah dan cepat. Selamat mencuba.