Dulu paling tidak sebulan sekali dapat merasa makan kenduri. Sekarang musim pandemik terasa rindu nak makan nasi minyak kenduri dan daging masak hitam nya. Kena pula dengan lauk tambahan ayam goreng dan acar mentah. Memang padu.
Kalau rindu nak makan kenduri tu, jomlah buat nasi minyak sendiri. Buat hidangan istimewa hujung minggu atau hari raya. Sebenarnya tak susah pun nak masak nasi minyak ni. Lauk pun boleh padankan dengan apa sahaja yang anda gemari.
Selalunya lauk kenduri ni daging masak hitam, ayam masak merah, daging kurma dan macam-macam lagi. Kali ni kita masak yang simple-simple je iaitu daging masak hitam. Nak kan hidangan lengkap buatlah sekali acar mentah.
Nak buat nasi minyak ni sebenarnya lagi sedap kalau masak dengan beras basmathi. Tapi kalau gunakan beras biasa pun enak juga. Kat kenduri pun biasanya beras biasa juga yang dihidangkan. Ikutlah mana yang anda suka.
Yang penting nasinya wangi dan terasa aroma. Makan dengan lauk apa pun memang layan. Jom ikut resepi mudah yang dikongsikan oleh Mdm Kelly ni.
RESEPI NASI MINYAK KENDURI DAN DAGING MASAK HITAM
Untuk nasi minyak, sukatan air sama je macam biasa masak nasi dengan beras yang anda masak selama ni. Kalau guna beras basmathi ada sukatannya juga. Yang penting perlu ambil kira semua cecair yang dimasukkan sebagai sukatan air beras.
Bahan-bahan nasi minyak:
- 4 cawan beras basmathi (rendam dan cuci bersih)
- 1 batang serai (diketuk)
- Halia
- Hirisan bawang besar
- 4 sekawan
- Daun pandan
- 2 sudu makan minyak sapi
- 2 sudu makan minyak masak
- 3 cawan susu cair + air biasa (cukupkan 7 cawan air)
- Sedikit serbuk kunyit
- Garam
- Kismis
Cara masak nasi minyak:
▶️ Panaskan minyak sapi dan minyak masak dalam periuk.
▶️ Kemudian masukkan 4 sekawan dan daun pandan. Tumis sampai naik bau.
▶️ Masukkan pula serai, halia dan hirisan bawang besar. Tumis lagi sehingga wangi dan garing.
▶️ Masukkan beras dan kacau sekejap.
▶️ Lepas tu masukkan susu cair, air dan garam. Gaul sebati.
▶️ Kemudian angkat periuk dan masukkan dalam periuk elektrik. Biarkan nasi masak seperti biasa.
Bahan untuk daging masak hitam:
- 1 kilo daging (potong kiub dan cuci bersih)
Bahan kisar:
- 2 labu bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- Halia
Bahan tumis:
- 1 batang serai
- 4 sekawan
- Kicap manis
- Kicap masin
- Sos tiram
- 3 sudu makan cili kisar
- ½ sudu makan serbuk jintan manis dan putih
- Gula kerek sedikit
Cara masak daging masak hitam:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan tumis 4 sekawan dan juga serai sampai garing dan naik bau.
▶️ Kemudian masukkan bahan kisar, cili kisar, kicap dan daging. Kacau sebati dan masak dengan api yang perlahan.
▶️ Masukkan serbuk jintan dan tambah lagi kicap dan gula. Tak perlu masukkan garam.
▶️ Biarkan daging terus direneh sampai masak dan empuk. Kalau kering kuahnya, tambahkan air lagi dan sambung mereneh.
▶️ Dah empuk daging boleh padamkan api.
▶️ Sedia dihidangkan dengan nasi minyak.
BACA JUGA: Resepi Ayam Goreng Berempah Macam Kenduri. Sedap Dan Wangi. Tak Perlu Perap Lama Sangat Pun.
Hidangan ni yang paling simple sekali. Kalau anda nak lebih lengkap dan menaikkan selera, boleh hidangkan sekali dengan acar mentah dan juga papadom.
Cara buat acar mentah mudah je. Sediakan timun, lobak merah, bawang besar, cili merah, cuka makan dan sedikit garam dan gula. Potong sayuran tu dan gaulkan dengan cuka dan bahan perasa. Dah siap.
Hujung minggu ni tak perlu pening-pening fikir nak buat apa untuk hidangan istimewa keluarga. Buat je nasi minyak kenduri dan daging masak hitam. Barulah rasa special sikit. Selamat mencuba!