Nasi lemak ni orang kata kalau nak buat kena serba serbi tau tentang cara untuk buat sambal dan nasinya. Sebagai makanan kegemaran ramai yang cukup legend turun temurun ni, kalau terkurang sana sini, boleh buatkan kita putus selera. Kali ni ada satu perkongsian resepi nasi lemak sedap dari seorang wanita yang baik hati ni yang boleh kita kongsikan.
Banyak tips dan rahsia untuk hasilkan nasi lemak yang tahan lama, lembut dan cantik hidangannya. Selain disertakan juga tips sambal yang sedap, wangi serta tahan lama. Bagi anda yang dah lama mencari resepi nasi lemak untuk dibuat berniaga, boleh ikut resepi yang dikongsikan ni.
Resepi ni untuk anda yang nak buat hidangan bagi 200 orang makan. Namun bagi yang ingin masak untuk kuantiti yang sikit, boleh juga guna pakai idea bahan yang digunakan beserta dengan tips-tips untuk hasilkan nasi lemak yang sedap ni.
Perkongsian resepi nasi lemak sedap dari Puan Noorastella Muhamma ni bukan sahaja tertumpu pada nasi dan sambal, malah pada cara penyediaan timun, telur rebus, dan juga ikan bilis.
Bahan-bahan yang digunakan untuk nasi dan sambal sebenarnya mudah dan ringkas je. Cuma banyak diajarkan tips memasak dari segi rasanya dan hidangan yang cantik serta tahan lama. Jangan lupa baca perkongsian ni sampai habis.
RESEPI NASI LEMAK SEDAP 200 PAX
Kalau anda nak masak kuantiti sikit untuk makan sekeluarga je, boleh kurangkan sukatan bahan ikut agak-agak berapa banyak yang diperlukan.
Bahan-bahan untuk sambal:
- Cili kering besar 6 mangkuk
- Cili kering halus 2 mangkuk
Bahan tumis:
- Bawang besar 8 biji
- Bawang putih 3 labu
- Serai 6 batang
- Kunyit hidup sebesar jari kelingking
- Halia sebesar ibu jari
- Belacan 1 ½ inci (dibakar)
- Serbuk cili 6 sudu makan
- Daun pandan beberapa helai yang disimpulkan
- Air asam jawa 1 mangkuk (bancuhan ½ paket asam jawa dengan air)
- Garam
- Gula
- Ajinomoto
Bahan-bahan untuk nasi:
- Beras 10 mangkuk
- Halia sebesar ibu jari
- Serai 4 batang
- Beberapa helai daun pandan yang disimpul
- 1 liter santan kotak Kara
- 2 senduk minyak
- Garam
- Gula
Cara masak sambal:
▶️ Mula-mula guntingkan cili kering secara halus untuk kedua-dua jenisnya. Cili ini digunting halus bertujuan untuk cepat lembut semasa direbus.
▶️ Untuk pengetahuan, cili kering besar dan halus digunakan untuk rasa pedas yang seimbang.
▶️ Semasa nak rebusnya, masukkan sesenduk minyak masak supaya cepat lembut dan masak.
▶️ Rebus cili kering ni sampai kembang dan sentiasa kacau supaya ianya masak seimbang.
▶️ Bila dah cukup kembang, boleh angkat dan tapiskan. Lalukan pada air paip untuk cuci sambil gaulkannya. Gaul pakai senduk je. Jangan gunakan tangan untuk elakkan jari kebas dan pijar.
▶️ Kemudian kisarkan cili ni sehingga hancur dan halus. Boleh kisar sikit-sikit. Kalau ikut kuantiti 8 mangkuk cili ni, lebih kurang 5 kali proses kisar dengan blender standard.
▶️ Lepas kisar, tuangkannya dalam besen dan ketepikan.
▶️ Sekarang sediakan bahan tumis pula.
▶️ Mula-mula potong halus kesemua bahan tumis ni supaya nanti senang untuk dikisar.
▶️ Masukkannya ke dalam blender beserta dengan sedikit minyak agar nanti bahan tumis ni cepat garing.
▶️ Jangan lupa masukkan sekali serbuk cili ke dalam blender. Kemudian kisar sehingga halus.
▶️ Tips untuk gorengan sambal yang sedap dan wangi, gunakan minyak yang digunakan untuk goreng ikan bilis.
▶️ Pastikan minyak yang digunakan banyak supaya cili cepat masak dan tahan lama.
▶️ Lepas dah panaskan minyak, masukkan bahan tumis yang telah dikisar halus tadi.
▶️ Jangan lupa masukkan juga daun pandan beberapa helai yang telah disimpulkan bertujuan untuk aroma sambal yang wangi.
▶️ Terus kacau dan tumis bahan ni sehingga garing dan terbit minyak.
▶️ Kemudian masukkan cili kering yang dah dikisar halus masa awal-awal tadi.
▶️ Masukkan air asam jawa yang dah dibancuh dan perasakan dengan garam, gula dan perasa ajinomoto.
▶️ Terus masak sambal ni sehingga terbit minyak.
▶️ Terhasillah sambal yang merah kegelapan dan cantik berkilat warnanya. Hasil sambal yang cantik warnanya ni ialah disebabkan kunyit hidup, serbuk cili dan juga gula.
▶️ Selain dari tu ianya dimasak lama lebih kurang 3-4 jam. Sebab tu bagi yang berniaga sebaiknya masak sambal pada waktu malam, dan waktu siang hanya panaskan sahaja.
▶️ Sambal ni cukup berasa dengan rasa manis-manis pedas. Inilah definasi sambal yang sedap bagi penggemar nasi lemak.
▶️ Sekarang jom sediakan nasinya pula.
Cara penyediaan nasi lemak:
▶️ Cuci beras bersih-bersih. Petua nak kasi nasi tahan lama sampai ke malam ialah cuci beras bersih-bersih sampai warna air jernih.
▶️ Buang air beras yang warna putih tu sebab banyak kandungan kanji yang selalu lembabkan nasi.
▶️ Kemudian masukkan beras ke dalam kuali besar bersama dengan bahan lain iaitu halia, serai dan daun pandan.
▶️ Masukkan air lebih 2 inci dari paras permukaan beras.
▶️ Tuang 1 liter santan Kara. Santan Kara ni sesuai sebab sangat pekat.
▶️ Kemudian masukkan 2 senduk minyak masak untuk nasi lembut, serta bagi nampak berkilat dan berderai sebiji-biji.
▶️ Kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa.
▶️ Masak nasi sehingga air kering. Biasanya proses ni makan masa selama 20 minit. Jangan lupa sentiasa kacau untuk elakkan nasi hangit.
▶️ Sementara tunggu nasi kering, sediakan periuk kukusan dan panaskan sekejap. Letakkan beberapa helai daun pandan untuk aroma nasi yang wangi.
▶️ Lepas nasi dah kering, bolehlah cedok dan masukkan ke dalam periuk kukus tadi.
▶️ Pindahkan sehingga habis.
▶️ Kukus sampai nasi masak. Biasanya mengambil masa dalam 40 minit.
▶️ Dah siap. Bolehlah packing untuk buat berniaga.
BACA JUGA: Resepi Nasi Planta Dan Ayam Masak Merah Sedap Macam Kenduri. Tak Cukup Sepinggan.
Ini TIPS untuk penyediaan bahan-bahan lain:
Timun: Masukkan timun yang dah dipotong ke dalam peti ais untuk elakkan timun berair. Bila berair akan merosakkan nasi bila dibungkuskan sekali. Keluarkannya masa hendak gunakannya.
Kacang goreng: Selepas beli kacang, jemurkan dulu bawah matahari sebelum digoreng. Sebab kacang dalam bungkusan ni berbau hapak dan lembab. Goreng lepas jemur jadikannya lebih rangup.
Ikan bilis: Masa goreng ikan bilis, masukkan sekali bawang putih yang dihiris. Nak tau sama ada ikan bilis dah masak, bawang putih tu kelihatan garing. Itu tandanya ikan bilis dah masak. Boleh angkat.
Telur rebus: Selepas dah rebus telur dan padamkan api, masukkan beberapa titis cuka makan ke dalam air rebusan telur tu sebelum keluarkannya. Lepas tu tutup kejap periuk. Ini bertujuan untuk memudahkan proses mengopek kulit telur nanti.
Terima kasih untuk pemilik resepi ni atas perkongsian resepi nasi lemak sedap yang sudi dikongsikan! Mudah bagi anda yang ingin berniaga nasi lemak.
Bagi yang nak masak sendiri pun dapat tips dan rahsia masakan nasi lemak yang sedap untuk dihidangkan pada keluarga. Semoga resepi ni bermanfaat untuk kita semua. Selamat mencuba!