Kalau dapat ratah macam tu je ayam goreng ni pasti buatkan anda terbuai-buai dengan rasa kesedapannya. Mana tak nya, bahan perapan ayam ni bukan biasa-biasa yang buatkan ayam ni berperisa dan lebih juicy. Bila digoreng garing pula kulitnya, fuhh, makan sampai tak pandang kiri kanan dah. Resepi ayam goreng hatyai ni antara makanan Thai yang wajib anda cuba!
Kita tau ayam goreng ni memang sedap walaupun sekadar dilumurkan garam dan kunyit je. Paling tidak pun salutkan sikit tepung goreng ayam untuk rasa yang lebih crunchy. Tapi untuk resepi ni, ayam diperap sekurang-kurangnya 2 jam dengan bahan perapan sos dan rempah, dan kemudian disalutkan pula dengan tepung beras untuk nikmat rangup.
Bila dah berperisa begini, siapa je yang tak suka meratah. Tak makan dengan nasi pun dah cukup menyelerakan. Apatah lagi kalau lengkap dengan nasi dan sos pedas. Resepi ayam goreng hatyai ni biasanya kalau di Thailand dihidangkan dengan pulut lembut dan bawang goreng.
Untuk perkongsikan resepi ayam goreng hatyai original Thai ni, saya akan kongsikan cara penyediaan dari Nur Anisah. Kalau tengok hasil ayam goreng hatyai beliau, boleh buat kita telan air liur. Memang kalau hidangkan untuk anak-anak dan suami, pasti mereka puji tanpa henti.
Tengok je senarai bahan perapan boleh agak bagaimana hasil dan rasanya nanti. Cukup rasa pedas, manis, masin dan bahangnya. Belum lagi rasa tahap garingnya pula bila digaulkan dengan tepung beras sebelum digoreng. Pasti nanti meratah lebih seketul seorang.
RESEPI AYAM GORENG HATYAI
Untuk resepi ni, kita masak untuk sekilo ayam. Kalau anda nak buat banyak, boleh gandakan bahan perapannya supaya nanti semua ayam dapat disalutkan dengan bahan sepenuhnya dan lebih berasa.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 1 kilo ayam
- Bawang putih 1.5 oz (boleh agak-agak)
- Jintan 1 sudu kecil
- Daun ketumbar 1 sudu besar
- Sos tiram 1 sudu besar
- Bawang merah ½ cawan
- Cili sos ¼ cawan
- Serbuk lada putih 1 sudu kecil
- Gula 1 sudu besar
- Garam 1 sudu kecil
- Biji ketumbar 2 sudu kecil
- Tepung beras ¼ cawan
Cara penyediaan ayam goreng hatyai:
▶️ Mula-mula kisarkan kesemua bahan kecuali ayam dan tepung beras.
▶️ Kemudian masukkan ayam dan bahan dikisar tadi ke dalam besen yang sesuai. Dan gaul sekata bahan kisar pada ayam.
▶️ Perapkan selama 2 jam sekurang-kurangnya.
▶️ Selepas perap, masukkan tepung beras dan gaulkan dengan ayam sehingga sebati.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali. Dan goreng ayam sehingga masak dalam 4-6 minit.
▶️ Dah siap, boleh angkat dan toskan.
▶️ Hidangkan bersama sos Thai.
▶️ Kemudian siapkan bawang gorengnya pula.
Cara penyediaan bawang goreng:
▶️ Kupas 5-6 biji bawang merah, dan hiris nipis.
▶️ Kemudian letakkan bawang atas tisu dan taburkan sedikit garam.
BACA JUGA: Daging Pad Kra Pao Atau Daging Cincang Pedas. Resepi Thai Yang Sedap Tiada Tandingan!
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan goreng bawang ni sehingga warna keperangan.
▶️ Dah siap, taburkan atas ayam yang dah digoreng tadi.
Apa lagi, jom cuba resepi ayam goreng hatyai ni untuk hidangan keluarga. Cara penyediaan tak susah pun sebenarnya, tapi kalau dah makan sekali mesti buatkan kita tak boleh lupa rasanya.
Kalau kena dengan tekak, nanti bolehlah cuba hidangkan dengan nasi berperisa seperti nasi ayam, nasi lemak dan sebagainya. Mana tau lagi padu rasa dia. Jangan lupa mencubanya!