Yang layan cerita korea mesti selalu nampak diorang makan ayam goreng pedas crispy ni kan. Pernah tak rasa terliur? Dengan sos manisnya berselupat pada ayam, tambah pula taburan bijannya tu. Hidangan ni memang nampak sangat special!
Resepi ayam goreng korea pedas ni lagi bertambah sedap kalau guna ayam bahagian kepak. Syarat sosnya yang berselaput pada ayam tu kena manis-manis pedas. Bila dimakan dengan gorengan ayam yang rangup, memang betul-betul nikmat.
Sebelum goreng ayamnya tu, kenalah perap dulu. Lepas tu goreng pula dengan tepung jagung, memang sedap bila dimakan rangup. Dan yang penting, bahan sosnya! Yang inilah buatkan kita makan sampai menjilat jari.
Nak masak resepi ayam goreng korea pedas yang sedap ni, anda boleh ikut resepi yang dikongsikan oleh Cik Puan Julieta ni. Tengok je hasil ayam pedas koreanya. Hidangan nampak mahal dan istimewa!
Ada 3 step penting nak sediakan menu ayam goreng korea pedas ni, iaitu perapan ayam, menggoreng, dan masak sos manisnya. Nampak je stepnya banyak, tapi sebenarnya tak susah pun. Jom kita lihat resepinya.
RESEPI AYAM GORENG KOREA PEDAS
Resepi ni untuk 10 ketul ayam bahagian kepak yang saiz standard. Kalau anda nak masak lebih, boleh gandakan bahan-bahannya terutama pada bahan penyediaan sos supaya berasa bila disalut pada ayam.
Bahan yang diperlukan:
Bahan perapan ayam:
- Ayam bahagian wing 10 ketul
- Bawang putih 7 ulas
- Halia 2 inci
- Serbuk lada hitam 1 sudu
- Gula 1 sudu
- Garam secubit
Bahan menggoreng ayam:
- Tepung gandum setengah cawan
- Tepung jagung setengah cawan
Bahan sos:
- Bawang putih 5 ulas yang ditumbuk halus
- Cili kisar 3 senduk
- Cili padi merah 2 biji yang ditumbuk halus juga
- Gula gerek / kabung 2 ketul kecil
- Sos cili 7 sudu besar
- Sos tomato 2 sudu besar
- Madu 2 sudu
- Jus lemon atau cuka makan 1 sudu
- Garam secukup rasa
- Biji bijan secukupnya
Cara buat ayam goreng korea pedas:
▶️ Mula-mula perap ayamnya dulu.
▶️ Caranya, tumbuk bawang putih dan halia satu demi satu sehingga lumat.
▶️ Kemudian campurkan dengan kesemua bahan perapan yang lain, dan lumurkan pada ayam.
▶️ Perap ayam sehingga 30 minit.
▶️ Kemudian gorengkan ayam tu. Campurkan tepung gandum dan tepung jagung, dan golekkan ayam di dalamnya.
▶️ Goreng dalam minyak yang panas sehingga garing dan warna jadi keperangan.
▶️ Kemudian angkat dan ketepikan.
▶️ Seterusnya masak sos manisnya pula.
▶️ Panaskan minyak, dan masukkan bawang putih. Tumis bawang putih sehingga bertukar warna.
▶️ Kemudian masukkan cili kisar dan cili padi merah dan masak sehingga garing.
▶️ Seterusnya masukkan sos cili, sos tomato, madu dan gula kabung. Kacau sebati dan biarkan seketika.
▶️ Selepas tu masukkan jus lemon atau cuka makan. Kacau lagi sehingga sebati.
▶️ Perasakan dengan sedikit garam.
▶️ Dan akhir sekali masukkan ayam yang dah siap digoreng tadi, dan gaul sekata sehingga sos semua selaputi ayam.
▶️ Dah siap boleh angkat.
▶️ Sangai bijan dulu, kemudian taburkan atas ayam.
Sedia untuk dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Ayam Goreng Perap Sedap Tak Terkata. Guna Bahan Simple Je!
Mudah je kan sebenarnya masak ayam goreng korea pedas ni. Sesuai sangat nak buat hidangan untuk anak-anak pada hujung minggu.
Ayam goreng pedas bahagian wing ni sedap makan macam tu je. Macam kita biasa meratah ayam madu. Kalau sekali buat, mesti terus jatuh hati dan nak repeat membuatnya lagi.
Mesti teringat-ingat rasa sedap sos manisnya dan ayam yang digoreng crispy. Kalau anda nak cuba, boleh ikut resepi yang dikongsikan ni. Pasti tak menyesal. Jangan lupa mencubanya!