Siapa kat sini suka laksa? Lagi-lagi laksa Johor. Memang istimewa laksa johor ni sebab berbeza dengan laksa biasa makan kat tempat lain. Macam-macam jenis ikan yang digunakan dalam membuat kuahnya. Salah satu yang famous ialah resepi laksa johor ikan tenggiri.
Sedap sangat dibuat kuah laksa. Kalau dapat makan yang pekat dan penuh keladak, lagilah sedap. Cukup rasa berlemak, pedas, manis dan masam. Nikmat betul bila dihidangkan dengan ulam salad, timun, taugeh dan sebagainya.
Resepi laksa johor ikan tenggiri yang saya nak kongsikan kali ni ialah resepi Fatimah Ali. Nampak sedap bila tengok ada kelainan pada kuahnya sebab ada ikan seketul yang tak dihancurkan.
Mungkin inginkan kelainan. Namun kepekatan kuah dia masih nampak padu dan menyelerakan. Tengok bahannya pun bukan biasa-biasa. Rugi kalau tak cuba.
Buat laksa ni macam biasalah memang banyak stepnya. Dari merebus ikan, asingkan isi dengan tulang, sampailah masak kuahnya. Kena tabah sikit, tapi kalau sedap hasilnya, memang puas hati.
RESEPI LAKSA JOHOR IKAN TENGGIRI
Selain ikan tenggiri, antara ikan-ikan lain yang sedap dibuat kuah laksa ialah ikan parang, kembung, dan selar mata besar. Kalau anda nak cuba ikan-ikan ni selain tenggiri ni pun boleh juga.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ikan 1 kilo
- Asam keping
- Spaghetti 1 paket
Bahan kisar untuk kuah:
- Bawang merah besar 6 biji
- Bawang putih 5 ulas
- Halia 1 cm
- Lengkuas 1 cm
- Segenggam udang kering
- Lada kering 15 tangkai
Bahan lain:
- 2 paket kecil rempah kari
- 2 batang serai yang dititik
- 2 keping asam keping
- 2 paket kecil kerisik
- 2 kotak kecil santan
- 2 batang bunga kantan (dipotong 4)
- Daun kesum
- Garam, gula, perasa secukup rasa
Cara masak kuah laksa johor:
▶️ Mula-mula rebus ikan dulu dengan asam keping.
▶️ Kemudian asingkan isi ikan, dan kisar bersama air rebusan ikan tadi.
▶️ Lepas tu blend semua bahan kisar pula.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian masukkan bahan kisar tadi.
▶️ Masukkan sekali serai dan tumis sampai naik bau dan pecah minyak.
▶️ Kemudian masukkan rempah kari dan gaul sehingga sebati.
▶️ Masukkan pula isi ikan dan kacau.
▶️ Seterusnya masukkan asam keping, daun kesum dan bunga kantan.
▶️ Masukkan santan dan air untuk jadikannya kuah.
▶️ Lepas tu masukkan kerisik.
▶️ Biarkan sehingga kuah pekat, dan perasakan dengan garam, gula dan perasa.
▶️ Bila dah pekat, bolehlah padamkan api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Kebiasaannya, nak lagi sedap laksa johor ni, hidangkan sekali dengan sambal belacan. Nak buat sambal belacan boleh ikut resepi di bawah ni.
Bahan-bahan untuk sambal belacan:
- Cili merah dan hijau anggaran dalam 10 biji
- Cili padi segenggam
- Bawang besar 2 biji
- Bawang putih 1 ulas
- Belacan 2 cm
Cara buat sambal belacan:
▶️ Semua bahan-bahannya digoreng dulu dengan sedikit minyak, kemudian kisar dengan sedikit air suam.
▶️ Lepas tu boleh perasakan dengan garam, gula dan perasa. Garam tak letak pun tak apa sebab belacan dah masin.
▶️ Perahkan sikit dengan limau kasturi. Lagi bertambah sedap.
Selepas siap kuah dan sambal belacan, bolehlah rebus spaghetti. Rebus dengan sikit minyak dan toskan. Lepas tu hidangkan bersama kuah, sambal belacan, dan sayuran ulamnya.
Wahh, tergoda tengok kuah yang pekat tu. Olahan resepi ni dari resepi asal boleh diikut kalau nak kan rasa kelainan. Kalau tengok bahan-bahannya pun nampak sedap dan berselera.
BACA JUGA: Cara Masak Maggi Goreng Ala Thai Yang Confirm Terliur. Rasanya Padu Walaupun Berkuah!
Ada sambal belacan tu lagilah padu. Kuah laksa sahaja dah cukup pekat, pedas dan berlemak. Dimakan dengan sambal belacan yang pedas-pedas masam tu, confirm tak pandang kiri kanan dah.
Lepas ni kalau nak masak laksa, bolehlah cuba resepi laksa johor ikan tenggiri ni. Bila dah sedap dan kena kat tekak, nanti boleh repeat banyak kali. Selamat mencuba!