Fuhh, kalau tengok lontong atau lodeh ni terus teringat hari raya. Sekarang ni kat gerai sarapan pagi rajin juga orang jual lontong atau lodeh ni, siap dengan nasi himpit sekali. Tapi kadang-kadangnya itulah. Kuah pula ada yang jual cair sangat atau kurang berasa.
Resepi yang dikongsikan oleh Raja Amanina ni agak menarik untuk dicuba. Kuah sedang-sedang je. Tak pekat sangat atau cair sangat. Yelah, kalau cair dah tentu kurang selera. Tapi kalau pekat sangat cepak muak pula.
Paling sedap kalau makan dengan sambal tumis ikan bilis. Ada rasa pedas-pedas sambal yang sedap dimakan dengan kuah berlemak.
Sebab tu lontong ni kalau ada majlis atau open house ke, rajin juga orang buat sebagai salah satu hidangan. Sebab ianya sedap dan mengenyangkan.
Dalam satu juadah je ada nasi (nasi himpit), ada bahan sayuran yang pelbagai, udang dan sebagainya. Cuma lontong ni selalunya tak pedas. Sebab tu kalau nak pedas, makan sekali dengan sambal tumis.
RESEPI LONTONG / LODEH
Sebenarnya bahan-bahan lauk atau sayuran dalam kuah lontong ni terpulang pada anda nak masukkan apa. Ikut citarasa sendiri. Yang penting sekali rasa kuahnya tu kena sedap.
Bahan-bahan kisar:
- 2 biji bawang besar
- 2 ulas bawang putih
- Kunyit hidup
- 2 sudu besar udang kering
- Sedikit belacan
- 1 hiris halia
- 1 hiris lengkuas
*kisar hingga halus bahan di atas
- 2 batang serai (diketuk)
- Santan secukupnya
- 1 asam keping
- Gula @ garam secukup rasa
Bahan lauk atau sayaran:
- Udang segar
- Tauhu
- Tempe
- Suhun dan fucuk
- Lobak merah
- Sengkuang
- Kacang peas/buncis
Cara masak lontong:
▶️ Mula-mula kisar bahan yang perlu dikisar sehingga halus.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan tumis sekejap bahan kisar ni sampai naik bau.
▶️ Lepas tu masukkan santan , asam keping dan serai.
▶️ Kacau sentiasa supaya santan tak pecah.
▶️ Bila kuah dah nak mendidih, masukkan lauk dan sayuran tadi.
▶️ Jangan lupa perasakan dengan garam dan gula.
▶️ Kemudian biarkan masak sampai mendidih.
▶️ Boleh padamkan api.
Bahan sambal tumis ikan bilis:
- 2-3 biji bawang besar
- 5-6 ulas bawang merah
- 2 genggam cili kering (direbus)
- 2-3 biji cili merah besar
- Sedikit belacan
- Sedikit asam jawa
- Gula
- Garam
Cara masak sambal tumis ikan bilis:
▶️ Mula-mula kisar bawang besar, bawang merah, cili kering, cili merah dan belacan sikit.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar ni sampai pecah minyak.
▶️ Kemudian masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam dan gula.
▶️ Akhir sekali masukkan ikan bilis.
▶️ Dah siap.
BACA JUGA: Buat Sendiri Kuah Bakso Sedap Terasa Aroma Daging, Hirup Sampai Licin. Mudah Je Bahannya.
Hidangkan sambal ni sekali dengan nasi himpit dan kuah lontong. Sedapnya bila makan lontong ada banyak sayuran ni. Mana yang favorite tu duk repeat yang itu je.
Sambal ikan bilisnya pula kalau nak sedap lagi tak perlu masukkan bawang putih. Letak bawang besar dan bawang merah je. Bukan takat sedap je, nanti sambalnya juga akan tahan lama.
Pada anda yang dah lama cari resepi lontong atau kuah lodeh ni bolehlah ikut resepi ni. Sedap rasa kuahnya. Pasti cepat licin anak-anak makan. Selamat mencuba.