Sedapnya kalau dapat makan mee kari buat juadah minum petang dengan teh’o panas. Resepi mee kari yang paling sedap ialah bila kuahnya dibuat pekat, pedas dan wangi degan aroma kari dan santan. Tak ketinggalan juga mee kari yang cukup dengan bahan sampingan seperti tauhu dan kerang.
Dalam banyak-banyak resepi mee kari, resepi dari Ainn Mustafa ni antara hidangan mee kari yang sedap dan cukup dengan rasa. Untuk buatnya sebenarnya mudah dan simple je. Yang penting cukup bahan rempah untuk ditumis agar naik aroma karinya nanti.
Mee kari ni kalau nak sedap perlu seimbangkan rasa manis dan wangi kuah dan juga kepedasannya. Kalau terlampau pedas, aroma kari akan kurang menyengat dan begitu juga sebaliknya.
Untuk bahan sampingan dalam kuah mee kari, boleh masukkan apa sahaja yang anda suka termasuk tauhu kering, kerang, ayam, fishball, fishcakes dan sebagainya.
Kalau anda buat mee kari ni, sebaiknya buat lebih sikit supaya boleh kerap makan berulang kali. Untuk pengetahuan anda, lagi kerap kuah kari dipanaskan, lagi sedap dan naik rasanya.
RESEPI MEE KARI
Untuk hidangan yang lebih sempurna, mee kari ni boleh dihidangkan sekali dengan telur rebus, sawi yang dah dicelur, taugeh, bawang goreng, cili merah, limau nipis dan sebagainya. Pasti buatkan anda makan bertambah-tambah dan hirup kuah sampai licin.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan kisar:
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 6-8 tangkai cili kering (ikut kepedasan masing-masing)
- 1 inci halia
- Ikan bilis sedikit
Bahan tumis:
- Daun kari
- Serai yang diketuk
- 2 inci lengkuas diketuk
- Bunga lawang
- 4 sekawan
- 4 sudu rempah kari daging (bancuhkan sikit dengan air)
Bahan lain:
- Ayam dipotong kecil-kecil
- Kerang (rebus dan buang kulit)
- Tauhu kering
- Fishball
- Fishcake
- 2 cawan santan pekat
- Garam, gula dan perasa secukupnya
- Kiub ayam
- Asam jawa sikit (optional)
Cara masak mee kari:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Masukkan kesemua bahan tumis dan tumis sehingga naik bau.
▶️ Kemudian masukkan bahan kisar pula bersama dengan rempah kari daging.
▶️ Tumis sampai garing dan pecah minyak.
▶️ Selepas tu masukkan ayam dan gaul sebati.
▶️ Agak-agak ayam masak separuh pun dah okay.
▶️ Kemudian masukkan santan pekat dan juga air ikut kepekatan yang anda mahu. Biarkan mendidih.
▶️ Perasakan dengan garam, gula, kiub ayam dan perasa ikut anda suka. Perasa ni ikut taste sendiri.
▶️ Kalau nak masukkan air asam jawa untuk rasa masam-masam sikit, boleh masukkan waktu ni.
▶️ Biarkan kuah mendidih.
▶️ Kemudian masukkan tauhu kering, fishball dan fiscake.
▶️ Dan akhir sekali masukkan kerang rebus. Masakkan kerang ni sekejap je dalam kuah.
▶️ Dalam 5 minit selepas tu dah boleh padamkan api.
BACA JUGA: Resepi Mee Sup Utara Penang Paling Simple Dan Senang Je Bahannya.
▶️ Sedia untuk dihidangkan bersama bahan sampingan lain.
Tak dapat nak gambarkan kesedapan mee kari ni. Tambah pula lagi kita boleh buat ikut selera masing-masing. Nak pekat macam mana, atau nak letakkan bahan apa lagi di dalamnya. Terpulang pada anda.
Sesetengah orang bukan je letak kerang, ada juga masukkan sekali udang untuk menaikkan lagi rasa manis udang dalam kuah. Bertambah sedap bila hirup kuahnya.
Resepi mee kari yang sedap secukup rasa ni wajib anda cuba kalau nak buat hidangan mee kari untuk keluarga. Pasti mereka menyukainya. Selamat mencuba.