Pernah tak anda makan mee kuah? Mee kuah ni tak semua tempat ada. Lain negeri lain cara masakannya. Dalam banyak-banyak resepi, mee kuah belah utara yang paling terkenal sekali. Resepi mee kuah dari Fairuz Abu Hassan ni antara yang sedap anda boleh cuba.
Asasnya kalau buat mee kuah, kebiasaannya kuah dimasak pekat dan cukup dengan rasa masin, manis dan pedas. Kebanyakan mee kuah akan masukkan udang sebagai bahan rencah. Tapi untuk resepi ni dimasukkan ayam untuk rasa kelainan.
Bukan tu je. Mengikut resepi ni, ada bahan rahsia yang boleh dimasukkan untuk menaikkan lagi rasa kuah iaitu perencah tomyam dan juga ikan bilis.
Kalau ikut resepi mee kuah utara, bahan sos dan kicap yang akan berikan rasa sedap dan memekatkan kuah. Sebenarnya apa sahaja cara masakan pun boleh. Janji kena dengan selera anda sendiri.
Mudah je sebenarnya nak buat mee kuah ni. Syaratnya kalau nak makan penuh nikmat, kuah mesti pekat dan cukup rasa. Lepas tu buat hidangan lengkap dengan bahan lain seperti telur rebus dan macam-macam lagi.
RESEPI MEE KUAH
Mengikut resepi mee kuah ni kalau nak pekatkannya bukanlah gunakan bancuhan tepung jagung macam buat mee hailam. Tapi menggunakan ubi kentang dan juga lobak merah yang direbus dan dikisar.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam 6 ketul dipotong kecil-kecil (ikut berapa banyak orang nak makan. Resepi ni sesuai untuk 3 orang makan)
- Mee 1 bungkus
- 2 biji bawang besar (kisar)
- 5 biji bawang merah (kisar)
- 3 ulas bawang putih (kisar)
- ½ inci halia (kisar)
- Ikan bilis segenggam (kisar)
- 3 biji ubi kentang (rebus dan kisar)
- ½ batang lobak merah (rebus dan kisar)
- 2 batang serai (diketuk)
- Sos spagetthi (kalau tak ada boleh guna tomato puri atau sos tomato)
- 4 sudu cili mesin
- Perencah tomyam (apa-apa jenama pun okay)
- Sos cili
- Sos tiram
- Buttercup
Cara masak mee kuah:
▶️ Mula-mula rebus dulu ubi kentang dan lobak merah sehingga empuk. Kisar dengan sedikit air, kemudian ketepikan.
▶️ Panaskan minyak dan sedikit mentega dalam kuali.
▶️ Tumiskan serai sehingga garing dan naik bau.
▶️ Masukkan ayam dan kacau sehingga masak. Tunggu sampai air ayam kering.
▶️ Masukkan cili kisar dan biarkan sampai cili masak dan garing.
▶️ Masukkan bahan kisar yang lain kecuali ubi kentang dan lobak merah yang dikisar kemudian tadi.
▶️ Masak sampai bahan kisar kering dan sedikit garing.
▶️ Kemudian masukkan sos spaghetti, sos cili, sos tiram dan garam. Boleh agak-agak banyak mana.
▶️ Masak sebati, kemudian masukkan ubi kentang dan lobak merah kisar tadi. Kacaukannya.
▶️ Kalau nampak macam pekat sangat boleh masukkan air.
▶️ Akhir sekali masukkan perencah tomyam dan biarkan mendidih.
▶️ Dah siap boleh padamkan api.
BACA JUGA: Resepi Mee Sup Utara Penang Paling Simple Dan Senang Je Bahannya.
Hidangkan panas-panas dengan mee yang telah dicelur. Sebagai pelengkap, hidangkan dengan telur rebus, bawang goreng, limau nipis, daun sup dan bawang goreng.
Kalau lihat kebanyakan resepi, kepekatan kuah bergantung pada bahan sos. Tapi untuk resepi ni seakan mee rebus yang masukkan ubi kentang dan lobak merah untuk memekatkan kuah.
Anda boleh ikut resepi mee kuah yang mana pun, janji ianya mudah dan kena dengan selera. Nanti jangan lupa mencubanya!