Sesekali kalau nak tukar selera dari makan nasi berlauk, apa kata jom beralih ke makanan dari negeri Siti Wan Kembang ni pula yang diberi nama nasi air. Kenapa dipanggil nasi air. Sebabnya resepi nasi air ni ialah dari bubur nasi yang dimakan dengan kuah sup yang banyak membanjiri nasi tu.
Memang kalau sekali pandang cukup menyelerakan. Nasi air ni bukanlah macam makan bubur biasa. Sebab bubur nasi air ni dimasak plain sahaja. Yang menaikkan rasanya ialah sup yang membanjiri bubur nasi tu. Kemudian hidangkan dengan bahan lain iaitu sambal, lauk dan sayur tambahan.
Biasanya kuah sup tu ialah dari masakan sup daging, ayam, atau tulang. Dan daging dan ayam itulah nanti dijadikan lauknya. Selain tu dihidangkan sekali dengan ikan bilis goreng juga. Bila kuah dicampurkan lagi dengan sambal pedas, memang tak boleh gambarkan kesedapan nasi air ni.
Hidangan ni lebih kurang macam mee sup juga. Jadi, kalau anda buat nasi air ni boleh buat supnya lebih sikit dan buat hidangan yang pelbagai. Tak susah pun. Lepas dah masak bubur nasi, celur juga mee, bihun atau kuey teaw, dan selepas tu hidangkan sekali. Sesuai sangat kalau nak buat untuk tetamu sebab boleh pelbagaikan hidangan.
Banyak orang kongsikan resepi dan cara masak nasi air ni. Salah satu resepi mudah, sedap dan menyelerakan yang anda boleh rujuk ialah resepi dari Nor Darwina Che Ismail ni. Jom kita lihat cara penyediaannya.
RESEPI NASI AIR
Ada sesetengah resepi lain, nasi tu dimasak tak berapa hancur atau teksturnya tak selembut dan sehalus bubur. Untuk resepi ni, nasi tu dibuat hidangan seperti bubur. Terpulang pada anda nak buat hidangan nasi bagaimana ikut citarasa masing-masing.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan sup ayam:
- Ayam separuh
- 2 ulas bawang putih
- 3 ulas bawang merah
- Halia sebesar ibu jari
- Sup bunjut
Cara penyediaan sup ayam:
▶️ Mula-mula hiris halus bawang merah, bawang putih dan halia.
▶️ Kemudian panaskan minyak dalam periuk, dan masukkan bawang, halia dan sup bunjut. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Seterusnya masukkan ayam dan air.
▶️ Dan masukkan garam, kiub pati ayam dan serbuk perasa (aji). Biarkan mendidih.
▶️ Bila dah masak, keluarkan ayam ke bekas lain.
▶️ Carikkan ayam kecil-kecil untuk dijadikan lauk nanti.
Kemudian sediakan hidangan bubur nasinya pula. Untuk bubur nasi ni, tak ada bahan-bahan lain selain beras sahaja.
Berikut cara penyediaan bubur nasi:
▶️ Basuh beras sehingga bersih. Kemudian gorengkan sehingga air kering.
▶️ Seterusnya blender beras sehingga hancur.
▶️ Dan masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik untuk dimasak.
▶️ Masukkan air, dan sentiasa kacau beras tu sepanjang masak. Kacau sekali setiap 3 minit sampailah bubur nasi tu masak.
▶️ Dah siap bubur nasi.
Untuk bahan sambal, anda boleh buat apa-apa jenis sambal tambahan. Ada yang buat kicap cili pedas je atau buat air cili kisar. Untuk resepi ni, ada 4 cadangan hidangan sambal anda boleh buat.
Cara penyediaan sambal tambahan:
- Sambal cili:- Blend lada, cuka, garam, gula dan air sedikit.
- Sambal kicap manis:- Potong lada kecil-kecil kemudian masukkan kicap manis dan cuka.
- Lada jeruk:- Hanya potong lada besar dan rendamkan dengan cuka.
- Serbuk lada kering:- Boleh beli dah siap di pasar raya.
Antara penyediaan hidangan lauk dan sayuran:
- Ayam dari sup tadi yang dicarik-carikkan.
- Ikan bilis goreng
- Taugeh
- Kobis
- Kangkung
- Daun sup, daun bawang
- Bawang goreng
BACA JUGA: Masakan Mee Rebus Ringkas Dengan Bahan Minima. Tapi Rasa Sedap Dan Menyelerakan!
Dah lengkap kesemua bubur nasi, kuah sup, hidangan sambal, lauk dan sayur, bolehlah hidangkan di atas meja untuk hidangan sekeluarga. Fuhh, penuh satu meja. Kalau makan nasi air ni waktu supnya tu panas-panas memang menyelerakan.
Resepi nasi air Kelantan ni antara menu sedap yang wajib anda cuba. Buburnya yang lembut, bila dimakan dengan kuah sup yang digaulkan dengan sambal, memang sedap dan nikmat. Confirm hirup kuah sampai licin.
Bukan je sedap, malah mengenyangkan juga. Boleh dijadikan makanan berat tengah hari atau pada hujung minggu. Selamat mencuba!