Nasi briyani ni, selalu kalau nak makan kita pergi ke kedai mamak. Tak pun tunggu kenduri. Dalam banyak-banyak nasi berperisa, nasi briyani ni memang selalu jadi kegemaran. Daripada kerap beli kat luar tu, apa kata kali ni cuba buat sendiri resepi nasi briyani ayam.
Lepas tu masak sekali dengan lauk kari kambing. Dengar je pun dah buat kita telan air liur. Selama ni tau makan je, tapi tak tahu buat. Sebab risau kalau buatnya susah dan tak menjadi.
Kalau anda nak cuba, boleh ikut resepi nasi briyani ayam dan kari kambing yang dikongsikan oleh Dani Shoppe’s ni. Kalau nak ikutkan, kat internet ni memang banyak resepi nasi briyani yang orang buat.
Kadang-kadang tu boleh nampak perbezaan warna nasi dan bahan-bahan yang dimasukkan. Yelah, lain tangan lain caranya. Untuk resepi Dani ni, hidangannya nampak istimewa dan menyelerakan.
Kalau buat nasi briyani ni, sedia maklumlah bahannya memang banyak. Sebab nama pun nasi berperisa. Tapi dengan bahan-bahan inilah yang menaikkan lagi rasanya.
RESEPI NASI BRIYANI AYAM DAN KARI KAMBING
Untuk resepi ni, bahan rempah perapan ayam dan nasi tu nampak istimewa dan lain dari yang lain. Rempah briyani dicampurkan sekali dengan yogurt dan bahan lain lagi.
Bahan-bahan nasi briyani:
- Ayam (siap cuci dan toskan)
- Bawang merah besar 3 biji ataupun bawang merah kecil 7 biji
- Bawang putih 4 ulas
- Bawang holland ½ biji
- Rempah 4 sekawan (pelaga, kayu manis, cengkih dan bunga lawang)
- Tomato 1 biji
- Kentang 2 biji atau berapa biji anda nak letak
- Beras 4 cup siap cuci bersih dan toskan (resepi ni gunakan beras pusa cream)
- Rempah briyani 3 sudu besar
- Yogurt 2 sudu besar
- Lada hitam ½ sudu kecil
- 2 helai bay leaf
- Planta 1 sudu besar
- Susu cair
Bahan-bahan kari kambing:
- Kambing (siap cuci dan toskan)
- Bawang merah besar 3 biji atau bawang merah kecil 7 biji yang dimayang halus
- Bawang holland ½ biji juga dimayang halus
- Bawang putih 5 ulas
- 4 sekawan secukupnya
- Santan 1 kotak kecil
- Minyak untuk menumis
- Rempah kari daging 2 paket kecil yang dibancuh jadikan pes
- Daun kari
- Garam dan gula secukup rasa
Cara masak nasi briyani ayam dan kari kambing:
▶️ Mula-mula sediakan bahan untuk masak nasi dulu.
▶️ Tumbuk bawang putih dan lada hitam. Kemudian campurkan dengan 3 sudu besar rempah briyani dan yogurt. Gaul sebati.
▶️Lepas tu, gaulkan ayam dengan bahan rempah tu, kemudian perap. Ketepikan.
▶️ Selepas tu, tumbuk tomato. Selalunya orang kisar. Tapi tumbuk sebab nak kan teksturnya tu. Ketepikan.
▶️ Bawang merah pula digoreng sampai warna menjadi kekuningan. Ketepikan juga.
▶️ Goreng kentang dan ketepikan.
▶️ Kemudian panaskan kuali dan masukkan planta 1 sudu besar (atau nak pakai ghee pun boleh).
▶️ Masukkan bawang holland, rempah 4 sekawan dan bay leaf. Tumis sehingga layu dan naik bau wangi.
▶️ Seterusnya masukkan ayam yang kita dah perap tadi. Masukkan sikit air, gula dan garam secukupnya.
▶️ Kacau sebati dan biarkan ayam mendidih lebih kurang 80% masak.
▶️ Balikkan ayam tu supaya sebelah lagi pun masak juga.
▶️ Lepas dah masak, angkat ayam dan ketepikan dulu.
▶️ Kemudian, bahan rencah tadi masukkan ke dalam periuk nasi elektrik.
▶️ Selepas tu, masukkan tomato yang dah ditumbuk hancur bersama dengan bawang merah yang dah digoreng tadi.
▶️ Masukkan beras pula dan kacau sebati.
▶️ Dan akhir sekali masukkan air yang dicampur bersama susu cair secukupnya, ikut paras biasa masak nasi.
▶️ Dan sebelum tanak, susunkan ayam dan kentang. Masak nasi seperti biasa.
▶️ Sekarang jom masak kari kambing pula.
▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Kemudian masukkan bawang merah, bawang holland, bawang putih, dan 4 sekawan sehingga naik bau.
▶️ Masukkan pula pes rempah kari daging dan kacau sebati.
▶️ Terus tumis sehingga pecah minyak. Lagi sedap tumis sebanyak 3 kali (bermaksud bila dah kering, tambahkan air untuk sambung tumis, buat 3 kali).
▶️ Selepas dah garing, baru masukkan kambing. Tambahkan air secukupnya dan lepas tu tutup periuk supaya kambing masak empuk.
▶️ Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak sehingga mendidih dan santan masak.
▶️ Dan cukup masak dan pekat kuahnya, bolehlah padamkan api.
Dah siap, dan sedia dihidangkan dengan nasi briyani. Puas betul makan, bila ada ayam yang sedap dan ada juga hidangan kari kambing.
BACA JUGA: Resepi Asam Pedas Claypot Tulang. Confirm Meleleh Air Mata!
Nak lagi nikmat lagi, bole buat jelatah timun dan goreng papadom. Lengkaplah hidangan penuh nasi briyani. Kalah makan kat kedai mamak kalau macam ni.
Menu ni nampak mewah dan istimewa, sesuai kalau buat hidangan hujung minggu. Nanti bolehlah mencubanya.
Jangan lupa klik share untuk resepi nasi briyani ayam ni kat Facebook anda. Nanti kalau tiap kali nak buat, boleh rujuk resepi ni semula. Selamat mencuba!