Segalanya Tentang Makan..

Resepi Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol. Gulai Ikan Kena Padu. Baru Sedap Terangkat.

0 1,073

Sekali sekala kalau nak masakkan nasi berperisa macam nasi dagang gulai ikan tongkol ni untuk keluarga pun sedap juga. Dengan musim pkp tak boleh balik kampung pantai timur, kedai pun jarang buka, susah nak dapat nasi dagang yang betul-betul sedap sekarang ni.

Nasi dagang ni semua tau nasinya lain dari yang lain. Selalu makan dengan gulai kari ikan tongkol. Memang favorite satu Malaysia walaupun berasal dari pantai timur Kelantan dan Terengganu. Sebab nasinya sedap berlemak-lemak dan lekit-lekit seakan-akan pulut.

Tambah pula masak dengan beras basmathi dan dikukus. Nasinya akan masak cantik dan wangi. Kalau beli pun kadang-kadang ada yang tak menepati citarasa kan.

Bukan je nasi, kesedapan nasi dagang ni pun terletak pada gulai karinya juga. Biasanya gulai kari yang sedap ialah cukup kepekatan, rasa dan jenis rempah yang digunakan.

Resepi nasi dagang dari Tg Khuzanika ni antara yang sedap dan cukup rasa yang anda boleh cuba. Gabungan gulai ikan yang sedap dengan nasi beras basmathi ni kalau digabungkan memang padu.

 

RESEPI NASI DAGANG GULAI IKAN TONGKOL

Cara masak nasi dagang ni berbeza dengan masakan lain sebab nasinya dikukus 2-3 kali. Pendek kata anda kena mangadapnya di dapur sampai nasi masak sempurna.

Bahan yang diperlukan:
Nasi dagang:
  • 4 cawan beras basmathi (resepi ni gunakan beras faiza basmathi)
  • 1 cawan beras pulut
  • * Beras basathi + beras pulut direndam selama 4 jam dulu sebelum masak
  • 2 cawan santan pekat
  • 3 cawan santan cair
  • 4 ulas bawang merah (mayang dan potong nipis-nipis)
  • 1 inci halia (hiris nipis)
  • 1 sudu besar halba
  • Garam sedikit
  • Gula sedikit
Cara masak nasi:

▶️ Mula-mula kena panaskan pengukus sampai air kukusan menggelegak.

▶️ Bilas beras yang direndam tadi.

▶️ Kemudian masukkan beras dalam periuk pengukus (jangan lupa alas dulu dengan daun pisang supaya beras tak terkeluar.

▶️ Kukus lebih kurang dalam 25 ke 30 minit.

▶️ Lepas tu angkat dan masukkan ke dalam besen yang sesuai. Sebaiknya besen yang besar sikit supaya mudah nanti nak mengacau.

▶️ Tuangkan santan cair sikit demi sedikit. Arung atau kacau dengan senduk kayu supaya santan meresap ke dalam nasi. Arung ni bermaksud perlu pastikan santan kena semua beras dan rata.

▶️ Lepas tu kukus sekali lagi sampai nasi betul-betul masak.

▶️ Bila dah masak angkat balik dan masuk dalam besen.

▶️ Masukkan bawang, halia dan halba dan kacau dalam nasi.

▶️ Santan pekat tadi dimasukkan garam dan gula dan kacau sebati. Untuk bagi rasa masin-masin dan lemak.

▶️ Kemudian masukkan santan ni sikit-sikit ke dalam nasi. Arungkannya sehingga nampak berkilat.

▶️ Kaup balikkan nasi dari bawah ke atas.

▶️ Untuk resepi ni, santan cair pada awal-awal tadi habis di masukkan. Begitu juga santan pekat turut habis digunakan. Sedang elok jadi nasinya.

▶️ Tapi kalau nasi anda dah elok masak, tak perlu habiskan santan pekat tu. Ikut kejadian nasi anda.

▶️ Dah siap dah. Tak perlu kukus lagi.

Gulai ikan tongkol:

▶️ Sebelum masak kari, ikan tongkol ni perlu direbus dahulu.

(Sebaiknya rebus malam tu kalau nak masak esok. Nanti biarkan semalaman dalam peti baru sedap bila masam dan masin menyerap ke dalam ikan)

▶️ Nak rebus tu masukkan garam, gula (nisan) dan asam keping secukupnya.

▶️ Masukkan air paras ikan dan rebus sampai air tinggal sikit. Tapi jangan sampai kering.

▶️ Boleh masukkan sikit cuka masa rebus untuk isi yang cantik. Tapi kalau tak nak pun tak apa.

Bahan-bahan gulai:
  • 1 ekor ikan tongkol
  • 2 cawan santan pekat dan air (boleh agak-agak campuran air dan santan ni untuk kuah anda nanti)
  • 5 sudu besar rempah kari ikan cap ros (kalau tak ada boleh je gunakan cap lain)
  • Garam
  • Nisan
  • Belacan
  • Aji @ cukup rasa
  • Asam keping
Bahan kisar:
  • 4 ulas bawang putih
  • 10 ulas bawang merah
  • 6 biji cili kering
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci lengkuas
  • 2 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu besar biji jintan manis

Cara masak gulai ikan tongkol:

▶️ Masukkan kesemua bahan dalam periuk kecuali ikan.

▶️ Masaknya sampai menggelegak.

▶️ Lepas tu baru masukkan ikan dan air rebusannya tadi.

▶️ Bila dah masak, kecilkan api dan biarkan lagi kuah mereneh sampai pekat dan keluar minyak.

▶️ Akhir sekali masukkan garam, nisan dan secukup rasa. Kena ada masam, masin, manis baru sedap.

▶️ Dah siap, boleh hidangkan dengan nasi dagang.

 

BACA JUGA: Resepi Nasi Briyani Untuk 8 Orang Makan, Dengan Lauk Daging Kandar. Sedap Padu!

 

Nak lebih sedap, buat acar atau jelatah macam biasa untuk hidangan tambahan. Sedapnya bukan main lagi. Itu dah kira lengkap.

Makan nasi dagang ni buat makan tengah hari pada hujung minggu memang berselera. Mau makan sampai bertambah-tambah.

Lepas ni tak perlu beli lagi dah nasi dagang gulai ikan tongkol ni. Lebih jimat dan sedap buat sendiri je. Boleh makan bertambah-tambah. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.