Nampak sedap pulak tengok makanan ni. Kalau nak feeling-feeling makan makanan korea, jom try buat resepi tofu beef stew atau nama koreanya ialah sundubu jjigae. Bagi peminat drama Korea mesti tau punyalah juadah ni. Sundubu tu maksudnya tauhu lembut dan jjigae pula stew atau sup pedas dan masam.
Sedapnya kalau dapat hirup kuahnya ni. Nak buat tofu beef stew ni kena ada pes korea yang dinamakan pes gochujang. Barulah sedap dan menangkap rasa dia. Pes gochujang ni lebih kurang macam pes cili merah. Kebanyakan makanan pedas korea memang menggunakan pes ni. Di Malaysia kalau nak dapatkan pes ni boleh dapatkan dari Shopee.
Bahan asasnya dah tentulah tofu. Dan kuahnya dimasak cukup berasa dengan tumisan bawang putih, halia dan pes gochujang. Bahan tumisan inilah yang membangkitkan selera sebab pes tu ada rasa pedas dan masam.
Selain tofu, dalam kuah pun akan dimasukkan bahan lain iaitu hirisan daging dan cenawan enoki. Dengan ketiga-tiga bahan sebagai ‘lauk’nya inilah yang membuatkan sedap dimakan dengan kuah stew yang pedas masam ni. Makan pula waktu masih panas. Memang confirm makan sampai licin!
Kalau nak cuba buat, jom ikut resepi yang dikongsikan oleh Nur Fairuza ni. Resepi beliau diinspirasikan oleh Ilyana Isa. Mudah je nak buatnya sebenarnya. Lebih kepada proses merebus. Sekejap je dah siap.
RESEPI TOFU BEEF STEW (SUNDUBU JJIGAE)
Sukatan bahan ni sesuai untuk hidangan 2 orang makan. Kalau anda nak buat lebih, boleh gandakan bahan-bahannya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Bawang putih 2 ulas yang ditumbuk halus
- Sedikit halia juga ditumbuk halus
- ½ kiub pati ikan bilis
- Pes gochujang 1 sudu makan
- Daging yang dihiris nipis (beli yang dah siap hiris)
- Tofu jepun lembut
- Cendawan enoki
- Garam secukup rasa
Cara penyediaan tofu beef stew:
▶️ Mula-mula panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis bawang putih dan halia. Tak perlu tumis lama-lama sampai garing.
▶️ Kemudian masukkan pes gochujang. Kacau sekata. Memang akan nampak pes tu nanti berketul-ketul. Tapi kacau je.
▶️ Seterusnya masukkan air 1 cawan penuh atau ikut suka nak kuah pekat atau cair. Kalau nak cair boleh lebihkan air. Kacau sebati sampai pes tadi larut.
▶️ Kemudian masukkan kiub pati ikan bilis.
▶️ Selepas tu masukkan tofu, daging hiris dan juga cendawan enoki. Besarkan sikit api dan biarkan sehingga mendidih. Dalam pada tu, masukkan sikit garam.
▶️ Garam tu tak perlu banyak sangat sebab pes gochujang dah berasa.
▶️ Lepas dah masak dagingnya dan menggelegak, boleh padamkan api.
▶️ Nak tambah hiasan, taburkan sikit daun bawang yang dihiris beserta dengan biji bijan.
▶️ Dah siap. Sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Sup Bebola Tepung Pulut Berinti Ayam. Resepi Unik Tapi Sedap Ya Amat. Wajib Cuba.
Nak lagi sedap, hidangkanlah dengan nasi dimasak campur beras pulut ala-ala korea tu. Lepas tu hidang sekali dengan sayuran ala kimchi. Boleh berangan kat Korea kejap padahal kat dapur rumah sendiri je.
Sedap sangat kuah stew ni kalau dituang penuh dalam nasi dan makan sambil menghirup. Rasanya yang pedas-pedas masam tu menaikkan selera. Bolehlah cuba buat lepas ni. Mana tau kena pada tekak. Boleh repeat selalu. Selamat mencuba!